MELAKA – Seorang pemuda, Muhammad Asymawi Mat Nor, 19, nekad bekerja sebagai penghantar makanan sejak tamat sekolah bagi mengumpul wang untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi serta membantu meringankan beban keluarganya.
Muhammad Asymawi kini mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Melaka dan merupakan antara 402 penerima Biasiswa Anak eKasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (BAeK PTPTN) bagi pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar.
Menurutnya, dia mula melakukan pekerjaan itu selepas tamat persekolahan pada tahun 2024 dan pendapatan diperoleh digunakan untuk menampung perbelanjaan diri, selain membantu keluarganya.
“Saya mula buat kerja sebagai penghantar makanan selepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan masa itu saya memang nak sambung belajar, jadi saya kumpul duit sedikit demi sedikit untuk kegunaan sendiri dan bantu keluarga.
“Ayah kerja sebagai pekerja pembersihan sukarela di sebuah surau berhampiran di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan saya tahu ayah bekerja keras membesarkan kami adik-beradik, jadi saya cuba ringankan beban yang ada,” katanya.
Muhammad Asymawi ditemui ketika menerima surat tawaran BAeK PTPTN yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim di rumahnya di Kampung Durian Daun Dalam di sini, hari ini.
Ujarnya, dia merupakan antara enam beradik yang dibesarkan bapanya secara bersendirian selepas ibu bapanya berpisah ketika usianya tujuh tahun, manakala salah seorang abangnya berusia 21 tahun menghidap talasemia dan tidak mampu melakukan kerja berat. – KOSMO! ONLINE














