ISKANDAR PUTERI – Kehadiran parti-parti politik baharu dan kecil yang berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 disifatkan sebagai perkembangan positif yang akan memeriahkan proses demokrasi di negara ini.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, mana-mana parti politik mempunyai hak untuk menawarkan diri kepada rakyat dan tidak boleh dihalang daripada menyertai pilihan raya.
Menurut beliau, BN menghormati keputusan mana-mana parti yang mahu bertanding, namun gabungan itu tetap berpegang kepada prinsip bahawa setiap penyertaan dalam pilihan raya adalah untuk mencapai kemenangan.
“Menerusi semangat demokrasi, mana-mana parti yang mahu bertanding tidak boleh dihalang. Tetapi bagi BN, falsafah kita jelas iaitu apabila bertanding, kita mesti bertanding untuk menang dan bukannya untuk kalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor di Bangunan Dato’ Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar di sini hari ini
Ahmad berkata, kemunculan lebih banyak parti politik tidak menimbulkan kebimbangan kepada BN, sebaliknya akan menjadikan persaingan dalam PRN Johor lebih menarik dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengundi.
“Selamat bertanding kepada semua pihak. Kehadiran parti-parti baharu yang telah mengumumkan hasrat untuk bertanding akan memeriahkan proses demokrasi dalam PRN Johor,”ujarnya.
Kelmarin, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang diasaskan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin akan turut bertanding pada PRN Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Dalam perkembangan sama, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor mengesahkan beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor kali ini, termasuk di DUN Benut dan DUN Pulai Sebatang yang berada dalam kawasan Parlimennya.
“Saya telah memaklumkan kepada pimpinan bahawa saya tidak berhasrat untuk bertanding. Biarlah calon lain diberi peluang. Tugas saya adalah membantu memperkukuh jentera dan memastikan BN mencapai kemenangan dalam PRN Johor,” katanya – KOSMO! ONLINE














