SHAH ALAM – Penyanyi Cik B tidak kisah untuk berhabis wang ringgit demi memastikan rakan-rakannya berasa gembira selain sebagai tanda penghargaan atas hubungan persahabatan yang terjalin.
Cik B atau nama penuhnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, bagaimanapun berkata, perkara tersebut tidak dilakukannya setiap hari tetapi hanya pada waktu yang istimewa sahaja.
“Melabur atau berbelanja untuk kawan-kawan adalah ‘love language’ saya dalam persahabatan
“Saya gembira kalau dapat belikan sesuatu yang kawan-kawan inginkan tetapi bukan selalu.
“Mungkin pada acara yang istimewa seperti hari jadi mereka dan tidaklah berlaku setiap hari,” katanya kepada Kosmo! Online selepas konsert separuh akhir Talk To My Manager 2 (TTMM2) di sini, semalam.
Dalam pada itu, dia juga percaya rezekinya akan bertambah sekiranya kerap berbelanja untuk rakan-rakannya.
Namun, anak kepada usahawan, Datuk Deri Vida itu mendedahkan menolak sekiranya ada rakan-rakan yang mahu ‘belanja’ dirinya di restoran atau membeli-belah.
“Saya suka belanja makan kawan-kawan supaya dapat rezeki lebih.
“Sejujurnya saya tak nak orang belanja sebab saya selalunya akan buat pesanan lima menu terus dan kasihan kepada orang yang nak bayar.
“Kalau kawan yang belanja, saya pula kasihan dengan diri sendiri sebab dapat ‘order’ satu menu saja,” katanya lagi.
Dalam masa sama, keikhlasan menjadi elemen penting diterapkannya dalam setiap hubungan persahabatannya.
“Sebenarnya saya memang ikhlas berkawan dengan semua orang dan ramai yang nampak rasa sayang saya pada kawan-kawan.
“Namun, dalam persahabatan perlu ada limittasi atau had.
“Contohnya walaupun saya sayang dan berkawan dengan ikhlas tetapi saya tidak meletak 100 peratus kepercayaan pun.
“Senang saja, kalau dia mempergunakan saya — memang akan terus buang terus orang itu tetapi saya ikhlaskan segala-galanya,” jelasnya.
Semalam, Cik B dan pengurusnya, Vida bersama empat peserta lain iaitu Azeva (Datuk A.Aida), Hussain (Jamilul Hayat), Anggrek (Adira Suhaimi) dan Kim Khairi (Safura) diumumkan berjaya melangkah ke final TTMM2 minggu depan.
Sebelum ini, Cik B dalam satu hantaran Threads mengakui tidak pernah berasa bimbang atau menyimpan prasangka terhadap mana-mana individu yang cuba berkawan atau mengambil kesempatan terhadapnya.
Baru-baru ini, dia juga dipuji ramai apabila membelikan anak penyanyi Ani Mayuni iaitu Viviana sebuah iPad yang berharga ribuan ringgit sebagai hadiah ulang tahun kelahiran. – KOSMO! ONLINE














