GENEVA – Penunjuk perasaan di Geneva membaling batu dan mercun ke arah polis yang bertindak balas menembak gas pemedih mata dan meriam air semasa tunjuk perasaan menentang sidang kemuncak negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) yang berlangsung di bandar berdekatan, Evian.
Beribu-ribu orang berhimpun di bandar Switzerland itu untuk membantah perhimpunan pemimpin-pemimpin kuasa besar dunia terkemuka mula menyeberangi Tasik Geneva menuju Perancis hari ini.
Ketika pertempuran antara kumpulan penunjuk perasaan dan polis di beberapa bahagian di Geneva semakin memuncak semalam, Presiden Perancis, Emmanuel Macron selaku tuan rumah sidang kemuncak G7 tahun ini, tiba di Evian.
Beliau akan mengalu-alukan para pemimpin G7 lain terdiri daripada Britain, Kanada, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat(AS) yang tiba di bandar spa tepi tasik itu hari ini, bersama-sama pemimpin beberapa negara lain yang dijemput termasuk Brazil serta India.
Sidang kemuncak tiga hari itu akan menjadi salah satu perhimpunan antarabangsa utama yang pertama sejak AS dan Israel melancarkan perang menentang Iran pada akhir Februari lalu, yang menggegarkan rantau Asia Barat dan meningkatkan ketegangan rentas Atlantik.
G7 akan membincangkan agenda yang padat termasuk usaha menamatkan perang dengan Iran selepas Presiden Donald Trump mendakwa mencapai perjanjian damai yang diselubungi ketidakpastian
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky juga dijadualkan hadir, menjadikan perang yang tercetus lebih empat tahun lalu oleh pencerobohan berskala penuh Moscow menjadi satu lagi agenda utama G7.
Kebanyakan pemimpin lain, termasuk Trump akan tiba di Lapangan Terbang Geneva sebelum melakukan perjalanan ke Evian.
Geneva yang terletak kira-kira 40 kilometer ke barat daya Evian , berada dalam keadaan tegang selama berminggu-minggu.
Pihak berkuasa cuba mengelakkan berulangnya kekacauan pada tahun 2003, apabila perusuh anti-G8 menyebabkan kerosakan bernilai jutaan dolar di bandar Switzerland itu.
Kali ini, pihak berkuasa Geneva membenarkan perarakan mengelilingi laluan gelung yang panjang di sebelah utara bandar itu, jauh dari pusat bandar dan butik-butik mewah. – AFP














