fbpx

Guna gambar insiden Terusan Suez untuk promosi burger, Burger King dikecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Burger King dikecam hebat netizen Mesir yang ingin memboikot restoran makanan segera tersebut. - Arab News

KAHERAH – Jenama rantaian restoran makanan segera, Burger King dikecam hebat gara-gara mempromosikan menu burger menggunakan ilustrasi gambar mirip insiden kapal kontena yang tersangkut di Terusan Suez, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Dalam iklan tersebut, Burger King Chile menggantikan imej kapal kontena gergasi MV Ever Given dengan burger Double Whopper, yang kelihatan tersekat di Terusan Suez.

Ketua Pegawai Pemasaran Burger King Global, Fernando Machado berkongsi iklan tersebut di Twitter dan menulis, “Hantaran yang hebat daripada Burger King Chile,” yang disertai dengan tanda ketawa.

Iklan Burger King Chile yang dikecam netizen Mesir. – Twitter

Bagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial di Mesir tidak berasa jenaka itu kelakar apabila mereka mula melancarkan tanda pagar #BoycottBurgerKing.

“Burger King Chile mengambil kesempatan ke atas krisis global ini dan mereka mengatakan bahawa burger mereka adalah sebesar kapal yang tersangkut di Terusan Suez itu,” ciap seorang pengguna Twitter, Sameh Al-Rifai.

Selain itu, pengguna media sosial yang lain turut menyifatkan iklan itu sebagai ‘kebiadapan syarikat’ dan menggesa pengguna lain untuk memboikot restoran dan produk Burger King.

Kejadian itu bukan yang pertama kali berlaku kerana sebelum ini, jenama tersebut pernah melakukan perkara yang sama di Twitter.

Pada Hari Wanita Antarabangsa yang lepas, satu ciapan oleh Burger King United Kingdom turut dikecam netizen gara-gara menulis ayat “Wanita perlu duduk di dapur”. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN