BUKIT KAYU HITAM – Cubaan membawa masuk 26.04 tan ayam sejuk beku yang disyaki menggunakan sijil halal palsu dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sini, Isnin lalu.
Treler yang membawa muatan bahan mentah itu ditahan AKPS menerusi pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Bay Pemeriksaan E3 kompleks tersebut.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd. Yusof berkata, pihaknya menerima dokumen pengisytiharan import bahan mentah tersebut untuk pemeriksaan dan pengesahan pada Isnin lalu.
“Hasil semakan awal mendapati terdapat keraguan pada sijil halal yang dikemukakan selepas pemeriksaan dibuat menerusi sistem semakan sijil halal secara dalam talian.
“Semakan lanjut mendapati maklumat yang direkodkan dalam sistem berbeza dengan maklumat pada sijil halal yang dikemukakan oleh pihak ejen atau wakil pengimport,” katanya di sini hari ini.
Susulan itu, Maqis AKPS mengemukakan perkara tersebut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pengesahan.
“Pada 12 Jun lalu, Jakim mengesahkan sijil halal yang dikemukakan adalah palsu. Sehubungan itu, tindakan penahanan dan penyitaan dilaksanakan bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil oleh Maqis negeri,” ujarnya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pihak ejen atau wakil pengimport menggunakan dokumen palsu bagi melepasi pemeriksaan agensi penguatkuasaan.
“Kita tidak menolak kemungkinan wujud sindiket yang terlibat dalam pengeluaran dan penggunaan sijil halal palsu bagi tujuan pengimportan produk makanan ke negara ini,” katanya.
Tambahnya, konsainan yang disita melibatkan 26,040 kilogram ayam sejuk beku dengan nilai anggaran RM208,320 berdasarkan harga dan berat yang diisytiharkan dalam permit import.
“Sebuah treler yang digunakan untuk membawa muatan tersebut turut disita dengan nilai anggaran RM25,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE














