fbpx
Mohd. Azmi

Jangan ulang budaya tukar kerajaan sebelum tamat tempoh mandat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Semua pihak diseru menghentikan budaya pertukaran kerajaan sebelum tamat tempoh mandat kerana ketidakstabilan politik yang berpanjangan hanya akan merugikan negara serta menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan politik mutakhir yang mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan sekali lagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu apabila ketidakstabilan politik memberi kesan besar terhadap ekonomi, pelaburan, keyakinan pasaran serta kelancaran pembangunan negara.

“Ketika negara berdepan cabaran ekonomi global, peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan geopolitik dunia, keutamaan semua pihak seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuhkan kestabilan negara, bukannya mencetuskan perebutan kuasa yang berterusan.

“Rakyat sudah semakin letih melihat percaturan politik yang tidak berkesudahan. Apa yang mereka mahukan ialah kerajaan yang dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian masalah rakyat, memperkukuh ekonomi, meningkatkan perpaduan nasional dan memperbaiki mutu tadbir urus negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbezaan pandangan politik merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi, namun usaha menjatuhkan kerajaan melalui manuver politik yang berterusan sebelum tamat tempoh mandat hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi.

Katanya, sebarang perubahan kerajaan sewajarnya berlaku menerusi proses pilihan raya yang sah dan teratur, kecuali dalam keadaan luar biasa yang benar-benar memerlukan tindakan sedemikian mengikut lunas Perlembagaan.

Ujarnya, persaingan politik perlu berlangsung secara beretika, berprinsip dan menghormati mandat rakyat bagi memastikan suasana politik yang tenang dan kondusif dapat dikekalkan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN