AMPANG JAYA – Dakwaan kewujudan ‘orang besar’ yang mengawal komuniti Rohingya di Flat Pandan Mewah di sini, menimbulkan kebimbangan penduduk apabila dikhuatiri wujud sistem pentadbiran tidak rasmi dalam kalangan warga asing di kawasan itu.
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati, nama individu dikenali sebagai ayahanda kerbau dan abang paw sering disebut penduduk sebagai individu yang didakwa mempunyai pengaruh besar dalam kalangan etnik Rohingya yang menetap di kawasan itu.
Beberapa penduduk mendakwa, kedua-dua individu itu bukan sahaja dikenali dalam komuniti mereka, malah dipercayai mempunyai pengaruh terhadap aktiviti harian dan bisnes yang dijalankan Rohingya di sekitar flat serta kawasan komersial berhampiran.
Seorang penduduk dikenali Abu berkata, individu dikenali sebagai abang paw didakwa mempunyai pengaruh terhadap peniaga Rohingya yang menjalankan perniagaan makanan, kedai runcit dan pelbagai perniagaan kecil di kawasan tersebut.
Katanya, ayahanda kerbau pula berperanan melindungi komuniti Rohingya di kawasan itu dan sering menjadi rujukan apabila timbul sebarang masalah.
“Difahamkan ada peniaga yang perlu menyediakan wang perlindungan, namun perkara ini perlu disiasat lanjut pihak berkuasa bagi menentukan kesahihannya.
“Kami sebagai penduduk hanya mendengar dakwaan itu daripada komuniti setempat dan berharap siasatan dapat dijalan secara menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian penduduk berasa bimbang kerana wujud persepsi bahawa terdapat individu tertentu yang mempunyai pengaruh besar dalam komuniti warga asing di kawasan berkenaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kawasan Flat Pandan Mewah dan pusat komersial berhampiran didakwa didiami majoriti etnik Rohingya sehingga menimbulkan pelbagai rungutan berkaitan kebersihan dan keselesaan.














