fbpx
Kawasan penempatan etnik Rohingya yang dibina atas tanah persendirian di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat. – SHIDDIEQIIN ZON

Kaut RM30,000 hasil sewa rumah pada Rohingya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU LANGAT – Perdapatan lumayan sehingga RM30,000 sebulan hasil kutipan sewa dipercayai menjadi punca pemilik tanah Kampung Baru Sungai Makau di sini sanggup menyediakan penempatan kepada etnik Rohingya.

Penempatan seluas kira-kira 0.2 hektar itu mempunyai anggaran 50 unit rumah yang me­nempatkan lebih 400 penghuni, majoritinya daripada etnik ­­Rohingya.

Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati bangunan tiga tingkat yang tular sebelum ini dipercayai hanya dijadikan sebagai ‘tirai’ bagi mengaburi kewujudan sebuah penempatan lebih besar di bahagian belakang kawasan berkenaan.

Bagaimanapun kediaman yang disediakan bukanlah rumah yang selesa, sebaliknya dibina dalam saiz kecil dan hanya mempunyai sebuah bilik serta tandas dengan kemudahan asas yang terhad.

Selain itu, keadaan persekitaran penempatan tersebut juga didapati tidak terurus dan menyerupai kawasan setinggan de­ngan susun atur rumah padat serta kurang penyelenggaraan.

Meskipun kawasan itu kini sudah tidak lagi berpenghuni, pelbagai barangan dipercayai milik penghuni terdahulu masih dilihat berada di dalam dan sekitar rumah, termasuk perabot, peralatan rumah serta pakaian.

Seorang bekas penghuni, Imam Hussein Abdul Kassim, 38, mendedahkan, dia dan ­penghuni lain dikenakan bayaran sewa sebanyak RM600 sebulan sepanjang menetap di penempatan itu kira-kira tiga tahun sebelum diusir keluar pada 2021.

Menurutnya, selepas me­ninggalkan kawasan itu, dia berpindah ke sebuah penempatan baharu di Jalan Sungai Tekali, di sini yang dihuni bersama 40 ­etnik Rohingya lain.

“Kami semua bayar sewa sebanyak RM600 sebelum dia­rahkan berpindah. Kami hanya diberi tempoh tiga hari untuk keluar dan kami akur,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Imam Hussein berkata, ke­semua rumah terbabit disediakan pemilik tanah dan menegaskan mereka tidak pernah terlibat dalam pembinaannya.

“Kami hanya menyewa. Rumah ini bukan kami bina. Orang selalu salah faham apabila nampak ramai Rohingya tinggal di satu kawasan,” jelasnya.

Ketika tinjauan, wartawan Kosmo! mendapati kebanyakan penghuni di kawasan itu merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) yang mencari perlindungan di negara ini.

Difahamkan, pemilik tanah telah dikenakan saman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak tiga kali sebelum ini.

Terdahulu, tular di media sosial video penyampai radio, Azad Jasmin menjumpai sebuah struktur bangunan di Hulu Langat.

Video tersebut kemudian mendapat perhatian ramai susulan didakwa menempatkan puluhan warga asing menetap secara haram di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, pihaknya sebelum ini telah menahan seramai 42 warga asing menerusi Ops Kutip di Kampung Baharu Sungai Makau, di sini.

Menurutnya, tangkapan dibuat pada 28 Februari tahun lalu hasil tindakan bersepadu bersama Jabatan Imigresen ­Se­langor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN