PETALING JAYA – SP Setia Berhad (Setia) berjaya meraih Anugerah Perak Dunia dalam kategori Kediaman Bertingkat Rendah di Anugerah Prix d’Excellence FIABCI Dunia 2026, di Hofburg Vienna, Austria semalam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Setia, Datuk Zaini Yusoff, berkata, kejayaan itu diraih menerusi Presint Arundina, iaitu sebuah pembangunan kediaman bertanah utama di Setia Eco Park.
Menurut beliau, pengiktirafan antarabangsa itu mencerminkan komitmen berterusan Setia dalam membangunkan projek berkualiti tinggi yang dirancang secara menyeluruh.
“Ia bukan sahaja mengangkat kedudukan Presint Arundina di pentas global, malah memperkukuhkan reputasi Setia Eco Park sebagai antara pembangunan perbandaran paling berjaya dan mapan di Malaysia.
“Presint Arundina menerima sambutan menggalakkan, didorong oleh penawaran kediaman bertanah berkualiti pada harga kompetitif, serta persekitaran hidup yang tenang, hijau dan serba lengkap,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, kejayaan itu turut diperkukuhkan oleh lokasinya dalam Setia Eco Park, yang pernah memenangi Anugerah Emas dalam kategori Pelan Induk di Anugerah Prix d’Excellence FIABCI Dunia 2007.
“Pencapaian terbaharu ini mengukuhkan kedudukan Setia dalam Anugerah Prix d’Excellence FIABCI Dunia.
“Ia diiktiraf sebagai penanda aras global dalam industri hartanah. Sehingga kini, Setia memegang rekod dunia bagi jumlah kemenangan tertinggi dengan 19 Anugerah Emas FIABCI Dunia,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














