KUALA LUMPUR – Polis sudah mengambil keterangan lima pegawai dan anggota termasuk ketua balai polis di sebuah daerah, di sini, berhubung dakwaan salah laku dan rasuah yang tular di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan sudah diambil dan siasatan sedang dijalankan pihak berkaitan.
“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju telah diarahkan untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Buat masa ini, siasatan masih dijalankan bagi memastikan sama ada kejadian itu benar-benar berlaku, mempunyai asas fakta atau sekadar tohmahan,” katanya dalam sidang akbar selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, di sini, hari ini.
Menurut Fadil, setakat ini, semua individu yang terlibat masih menjalankan tugas seperti biasa.
“Tiada tindakan lanjut diambil buat masa ini kerana siasatan masih berjalan. Sekiranya didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa penduduk mendakwa salah laku membabitkan seorang ketua balai polis di Wangsa Maju serta beberapa anggotanya terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah. – KOSMO! ONLINE














