SUNGAI PETANI – Dua lelaki ditahan selepas satu objek menyerupai pistol ditemukan di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Lencongan Barat, Laguna Merbok di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, pemandu MPV jenis Nissan Grand Livina berusia 37 tahun bersama seorang penumpang berusia 35 tahun terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal Honda yang ditunggang seorang warga emas berusia 67 tahun.
Kejadian tersebut mengakibatkan penunggang motosikal yang beralamat di Taman Ria di sini mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, semasa kejadian, terdapat orang awam yang membuat siaran langsung di media sosial dan menemukan objek menyerupai pistol di dalam kenderaan yang rosak itu.
“Susulan siaran langsung tersebut, pegawai polis bertindak ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kemalangan itu berlaku di Jalan Lencongan Barat di Laguna Merbok menghala pusat bandar dan siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan.
Kata beliau, hasil ujian air kencing mendapati pemandu MPV yang beralamat di George Town, Pulau Pinang dan penumpangnya dari Ayer Hitam, Pulau Pinang positif dadah.
“Siasatan juga mendapati pemandu mempunyai 17 rekod lampau iaitu 16 kes narkotik dan satu kes jenayah, manakala penumpang mempunyai tujuh rekod berkaitan narkotik,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua lelaki terbabit direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, beberapa video berhubung kejadian tular di media sosial termasuk memaparkan berlaku kekecohan orang awam yang tidak berpuas hati dengan dua lelaki berkenaan sehingga ketika mereka dibawa masuk ke ambulans. – KOSMO! ONLINE














