fbpx
HUKUM membunuh binatang perosak adalah dibolehkan kerana boleh mendatangkan gangguan. - GAMBAR HIASAN

Hukum bunuh tikus dengan menggunakan jerat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI rumah saya banyak tikus dan saya sering memasang jerat bagi menangkap tikus. Apakah hukum membunuh binatang ini kerana ia terlampau banyak dan boleh membahayakan kesihatan kami sekeluarga?

JAWAPAN: Tikus termasuk dalam binatang yang disunatkan untuk dibunuh kerana tabiatnya yang hidup dalam keadaan kotor serta jijik, bahkan juga boleh membawa kerosakan. Tikus termasuk di dalam al-Fawasiq al-Khams (haiwan perosak yang lima) berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Daripada ‘Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW telah bersabda: “Khams fawasiq (haiwan perosak yang lima) yang perlu dibunuh meskipun di dalam keadaan berihram; kala jengking, tikus, burung ‘kite’ (burung pemangsa seakan helang), burung gagak dan anjing ganas.” (Riwayat Muslim, 1198)

Al-Imam Malik Rahimahullah mengatakan bahawa makna bagi hadis di atas adalah kerana keadaan serta tabiat khams fawasiq tersebut mendatangkan gangguan, membahayakan dan memudaratkan, maka dibolehkan untuk dibunuh bagi mereka berihram.

Oleh itu, jika dalam keadaan berihram sekalipun dibenarkan untuk membunuh khams fawasiq ini, maka dalam keadaan bukan berihram pula, maka juga dibenarkan.

Syeikh Nawawi al-Bantani Rahimahullah di dalam kitabnya, Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja mengatakan, disunatkan untuk membunuh binatang yang mendatangkan gangguan iaitu secara tabiatnya seperti al-Fawasiq al-Khams. Ini kerana keadaannya yang mendatangkan rasa jijik, kotor dan mengganggu.

Meskipun terdapat keharusan membunuh khams fawasiq ini, namun terdapat juga adab yang diajarkan oleh Islam tatkala  membunuh sesuatu. 

Ini berdasarkan hadis yang mana Rasulullah SAW telah bersabda: “Allah SWT telah menetapkan ihsan pada setiap perkara. Sekiranya kamu membunuh, maka perelokkanlah bunuhan tersebut. Sekiranya kamu menyembelih haiwan, maka perelokkanlah sembelihan tersebut dan setiap daripada kalian perlu menajamkan pisau dan berikan kerehatan pada sembelihan (bagi mengurangkan kesakitan). (Riwayat Muslim, 1955)

Oleh itu, meletakkan ihsan pada setiap sesuatu adalah bertepatan dengan hadis di atas meskipun dalam membunuh binatang perosak seperti tikus dan juga yang lainnya. Syeikh al-Mulla Ali al-Qari menyebutkan bahawa ihsan dalam membunuh itu adalah dengan mencari jalan yang paling mudah untuk membunuh dan paling kurang rasa sakit penderitaannya.

Meskipun menggunakan jerat, setelah didapati tikus tersebut, maka segeralah membunuhnya dan janganlah membiarkannya mati dalam keadaan terseksa kerana beramal dengan hadis Nabi SAW yang menetapkan bahawa pada setiap sesuatu itu terdapatnya ihsan.

Kesimpulannya, hukum membunuh binatang perosak adalah dibolehkan kerana boleh mendatangkan gangguan.

Ditambah lagi dengan tabiat haiwan perosak tersebut yang jelas membawa keburukan baik dari persekitaran mahupun kesihatan. 

Meskipun syarak mengharuskan membunuh haiwan perosak ini, namun berlaku ihsan dalam membunuhnya juga dituntut berdasarkan hadis yang telah dikemukakan. 

Hendaklah mereka yang memasang jerat sentiasa memantau keadaan jerat tersebut, dan jika didapati mengena sasaran, maka segeralah membunuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN