PETALING JAYA – Synology memperkenalkan pelbagai inovasi pengurusan data terbaharu pada pameran teknologi Computex 2026 di Taipei, Taiwan minggu lalu melalui pengenalan rangkaian solusi yang komprehensif.
Langkah itu bertujuan membantu sektor perniagaan mengurus, melindungi dan memanfaatkan data dengan lebih berkesan dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI).
Antara yang diketengahkan termasuk DiskStation Manager (DSM) generasi baharu, ActiveProtect Manager 2.0, perkakasan DP5200 versi terkini, ekosistem pengawasan video yang diperluaskan, penambahbaikan Synology Office Suite serta ekosistem awan peribadi Bee Series untuk pengguna individu dan isi rumah.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Synology, Philip Wong berkata, data merupakan nadi kepada setiap produk yang dibangunkan syarikat itu manakala kepercayaan menjadi asas utama kepada semua penyelesaian yang ditawarkan.
“Setiap produk direka untuk memberikan kawalan penuh kepada pengguna terhadap data mereka sama ada melibatkan infrastruktur perusahaan atau penyelesaian awan peribadi.
“Dengan sokongan aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan privasi tanpa kompromi, pengguna boleh melangkah ke fasa seterusnya dengan lebih yakin,” katanya dalam satu kenyataan.
Synology memaklumkan, DSM generasi baharu menandakan peralihan daripada sistem pengurusan storan tradisional kepada platform data pintar yang membolehkan organisasi mengendalikan aliran kerja AI di premis sendiri.
Platform tersebut turut menawarkan sokongan untuk NAS GPU dan perkakasan AI khusus, selain ciri tadbir urus AI yang merangkumi kawalan keselamatan lebih kukuh, akses berasaskan peranan yang diperluas dan pemantauan penggunaan data yang lebih telus.
Dalam usaha memperkukuh ketahanan siber organisasi, Synology turut melancarkan ActiveProtect Manager 2.0 yang direka untuk meningkatkan perlindungan data serta memastikan kelangsungan operasi perniagaan.
Versi terkini itu memperluaskan perlindungan kepada pelbagai platform virtualisasi dan perkhidmatan awan termasuk Microsoft Azure Virtual Machines, Amazon EC2, Nutanix AHV, Proxmox VE dan Google Workspace.
Selain itu, ActiveProtect Manager 2.0 dilengkapi fungsi pengesanan anomali dan ancaman perisian hasad berasaskan AI bagi mengenal pasti aktiviti salinan data yang mencurigakan.
Keupayaan Auto Fallback pula membolehkan organisasi memulihkan data daripada salinan terakhir yang tidak terjejas sekiranya berlaku serangan siber.

Synology turut memperkenalkan perkakasan baharu DP5200 yang menawarkan pilihan pelaksanaan lebih fleksibel untuk melindungi data merentasi pelbagai persekitaran teknologi maklumat (IT).
Dalam aspek kolaborasi digital, Synology Office Suite kini diperkasakan dengan pengenalan ChatPlus dan Meet yang menyediakan komunikasi tempat kerja lebih selamat menerusi fungsi transkripsi dan terjemahan berasaskan AI.
Bagi keselamatan fizikal pula, syarikat itu memperluaskan ekosistem pengawasan menerusi penyelesaian kawalan akses baharu, kamera kubah serta perkakasan Deep Video Analytics yang menyokong pemantauan pintar dan pengawasan hibrid melalui Surveillance365.
Untuk pengguna individu dan isi rumah, ekosistem awan peribadi Bee Series kini menawarkan lebih banyak pilihan menerusi BeeStation, BeeStation Plus, BeeCamera dan Synology Deep Search.
Rangkaian produk tersebut direka bagi memudahkan pengguna mengurus, memantau dan mencari data peribadi dengan lebih cekap tanpa menjejaskan privasi serta kawalan penuh terhadap maklumat mereka.
Ditubuhkan di Taiwan pada tahun 2000, Synology merupakan syarikat teknologi yang mengkhusus dalam penyelesaian penstoran rangkaian (NAS), salinan data dan pemulihan, pengawasan video serta sistem rangkaian untuk perniagaan dan individu di seluruh dunia.
Sepanjang lebih dua dekad, syarikat itu terus memperkasa ekosistemnya bagi membantu pengguna mengurus, melindungi dan memanfaatkan nilai data dengan lebih berkesan dalam era pengkomputeran awan, AI dan data raya.

Falsafah teras Synology adalah membangunkan ekosistem awan hibrid yang komprehensif bagi membolehkan organisasi melindungi, menyelaraskan dan mengurus data menerusi satu platform berpusat yang intuitif dan mudah digunakan.
Penyelesaian yang ditawarkan merangkumi penstoran perusahaan, salinan data, perkongsian fail dan kolaborasi, selain pengawasan video serta infrastruktur rangkaian yang direka untuk memudahkan pengurusan IT dan mempercepatkan transformasi digital.
Selain memberi tumpuan kepada inovasi teknologi, Synology turut menekankan aspek kestabilan jangka panjang, keselamatan dan kebolehskalaan infrastruktur data.
Komitmen tersebut terbukti apabila lebih separuh daripada syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500 menggunakan penyelesaian Synology bagi menyokong operasi data berskala besar di peringkat global.
Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang www.synology.com/en-my. – KOSMO! ONLINE














