fbpx
AJAI terbuka untuk sepentas dengan bekas isterinya, Nourul sekiranya ada peluang. - Foto AMIR KHALID

Ajai tiada masalah kongsi pentas sama dengan Nourul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Komposer, Ajai percaya sambutan baik penonton terhadap Konsert For You Nourul adalah bersandarkan kekuatan deretan lagu solonya yang kekal malar segar sehingga ke hari ini.

Ajai atau nama sebenarnya, Mohamad Faizal Maas, 51, berkata penerimaan ramai juga sebagai bukti penyanyi Nourul Depp juga bekas isterinya itu tidak bergantung kepada populariti lagu duet semata-mata.

“Saya tak risau sebab bagi saya katalog lagu solo dia banyak yang hits seperti Cinta Azali, Kerana Terluka serta Ikhlasnya Cintaku.

“Jadi kalau dicampur dengan lagu duet memang senarai dendangannya panjang, sekali gus mampu menarik penonton,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Aisha Retno, Diari Air Mata, di Kenangan Coffee, TRX, hari ini.

Mengulas permintaan peminat yang ingin melihat mereka sepentas lagi sebagai rakan duet, Ajai berkata terbuka bekerjasama andai dipelawa namun bergantung kepada kesesuaian masa.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki. Saya tiada masalah pun kalau disatukan di pentas sama cuma pada saya, kena tunggu dan perlukan masa yang tepat.

“Sebelum ini kami pernah disatukan dalam karier sebagai rakan duet. Mereka (peminat) buat permintaan itu disebabkan lagu duet kami masih terpatri dalam ingatan sehingga sekarang.

“Yang boleh membuatkan pendengar atau peminat masing-masing berasa gembira, saya okey sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, usai Konsert For You Nourul di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei lalu, terdapat permintaan sebilangan peminat yang menzahirkan harapan mahu melihat gandingan semula Ajai dan Nourul.

Suatu ketika dahulu mereka pernah dianggap antara pasangan duet paling serasi dalam industri muzik tanah air bersama deretan dendangan hits.

Pada masa sama, Ajai juga mendedahkan tidak dapat hadir pada persembahan mega sempena tiga dekad Nourul di arena muzik berikutan komitmen terhadap persiapan konsert kumpulannya Exists pada 10 Ogos depan.

Sementara itu, mengulas mengenai single Diari Air Mata terbitan Usanita Entertainment, katanya dia diberi tanggungjawab sebagai komposer dan penulis lirik bagi karya sarat emosi itu.

Menurutnya, Aisha Retno juga merupakan pilihan pertama pihak Usanita untuk menyampaikan lagu yang bakal dijadikan runut bunyi (OST) bagi sebuah drama terbaharu terbitan UTV nanti.

Terdahulu, Ajai dan Nourul pernah bergelar suami isteri pada 1996 sebelum bercerai 10 tahun kemudian dan dikurniakan seorang anak, Ayu Nazirah, 28.

Kedua-duanya kini bahagia menjalani kehidupan berkeluarga dengan pasangan masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN