fbpx
AMIRA AISYAH pada sidang akhbar di Setia Tropika, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

PRN Johor: Muda umum senarai kerusi, calon selepas pemukiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan memuktamadkan senarai calon dan kerusi yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Pemukiman Biro Politik Muda.

Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pemukiman itu dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Jun ini di Muar.

Menurutnya, selain senarai nama calon dan kerusi, pemukiman itu akan membincangkan kriteria calon-calon yang akan ditengahkan serta strategi pilihan raya.

“Pemilihan calon tidak hanya berdasarkan faktor usia semata-mata, sebaliknya menitikberatkan kemampuan calon untuk berkhidmat, membawa dasar serta menyelesaikan masalah rakyat.

“Dalam pemukiman itu juga, Muda akan putuskan sama ada akan bergerak solo atau bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain bagi menghadapi PRN Johor kali ini.

“Apa yang penting, Muda akan menggunakan logo sendiri bagi memastikan identiti, prinsip dan dasar perjuangan parti dapat dibawa secara konsisten kepada rakyat Johor,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi minum petang bersama media di Setia Tropika di sini hari ini.

Dalam masa sama, Amira Aisyah yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa mengingatkan parti-parti politik supaya tidak menjadikan Johor sebagai medan eksperimen politik.

“Orang Johor bukan buah catur politik mana-mana pihak. Mereka berhak mendapat wakil rakyat terbaik dan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai isu yang akan menjadi fokus MUDA dalam PRN Johor, Amira Aisya berkata, parti itu akan memberi penekanan kepada isu perubahan iklim, banjir, peluang pekerjaan berkualiti untuk anak muda serta masalah penghijrahan bakat (brain drain) yang semakin membimbangkan di negeri itu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN