KUALA PILAH – Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merompak seorang warga Myanmar di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi di Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), hujung bulan lalu.
Tertuduh, Sabrie Fauzi, 38, yang merupakan warganegara Malaysia, manakala, Husson Shorif Koseir, 27; dan Mohamad Ekramullah Soyodul, 32, yang merupakan warga Myanmar membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan terhadap seorang lelaki warga Myanmar yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Mereka didakwa merompak sebuah kereta Toyota Altis, sebuah telefon bimbit jenama Vivo, seutas jam tangan, dompet mengandungi wang tunai RM150 serta kad UNHCR milik mangsa.
Semasa melakukan rompakan itu, tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 8.36 malam hingga 9 malam pada 30 Mei lalu di R&R Pedas-Linggi arah selatan. – KOSMO! ONLINE














