KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melakar sejarah apabila menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk kembali menjuarai acara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.
Pada aksi final yang berlangsung dalam suasana cukup mencabar di hadapan penyokong tuan rumah, pasangan ranking kelapan dunia itu bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menewaskan wakil Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 13-21, 21-18, 21-10.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia kembali menawan gelaran beregu lelaki kejohanan berprestij bertaraf Super 1000 itu buat kali pertama sejak Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari melakukannya pada edisi 2008.
Turun selaku pilihan ketujuh, Sze Fei-Izzuddin bermula kurang meyakinkan apabila gagal mengekang corak permainan pantas serta agresif pasangan muda Indonesia yang memanfaatkan sepenuhnya sorakan penyokong sendiri.
Keadaan itu membolehkan Raymond-Nikolaus menguasai sebahagian besar aksi set pembukaan sebelum menutupnya dengan kemenangan 21-13 untuk berada di landasan terbaik memburu kejuaraan.
Bagaimanapun, pasangan negara mula menemui rentak sebenar pada set kedua apabila memperkemaskan permainan selain mengurangkan kesilapan mudah untuk kembali mengimbangi perlawanan.
Usaha itu membuahkan hasil apabila mereka berjaya memenangi set kedua 21-18 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan dan memadam kelebihan yang dimiliki lawan.
Momentum tersebut diteruskan pada set ketiga apabila Sze Fei-Izzuddin tampil jauh lebih dominan dengan menguasai hampir setiap aspek permainan sehingga menyebabkan pasangan Indonesia gagal memberi tentangan seperti pada dua set terdahulu.
Kejayaan itu melengkapkan prestasi cemerlang mereka kebelakangan ini selepas mara ke separuh akhir Terbuka Thailand, muncul naib juara Malaysia Masters dan kini menjulang gelaran Terbuka Indonesia, sekali gus mengesahkan status mereka sebagai antara beregu paling konsisten. KOSMO! ONLINE














