TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih tiba di Hospital Tapah di sini kira-kira pukul 9.20 malam tadi.
Jaslinda tiba di Unit Kecemasan Dan Trauma hospital tersebut dengan ambulans Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Tapah diiringi motosikal peronda polis bagi pemeriksaan kesihatan di hospital berkenaan.
Sebaik sahaja wanita itu tiba, ahli keluarga termasuk keluarga dan anak-anaknya mengucapkan syukur kerana dia telah ditemukan.
Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan 25 Mei lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – KOSMO! ONLINE














