fbpx
AMIRUDDIN ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera PH PRN Johor di Batu Pahat hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

PRN Negeri Sembilan: Sahabat kita khianati mandat rakyat, punca bubar DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan tindakan rakan politik yang menarik sokongan terhadap kerajaan sebagai satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat sehingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terpaksa diadakan.

Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) itu berkata, PH sebelum ini berusaha memastikan kerajaan dapat terus berfungsi dengan stabil demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat, namun tindakan pihak tertentu yang berubah-ubah pendirian telah menggugat kestabilan politik negeri.

“Kita menghormati kerjasama dan persefahaman yang dibina, tetapi malangnya ada sahabat yang tidak sabar dan akhirnya mengkhianati kepercayaan yang diberikan. Mereka menarik sokongan dan menyebabkan kerajaan berada dalam keadaan tidak stabil.

“Rakyat Johor perlu ingat apa yang berlaku. Kita tidak mahu episod pengkhianatan mandat rakyat ini berulang lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini hari ini.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak secara khusus, ucalan beliau dipercayai merujuk kepada tindakan komponen Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membuka laluan kepada PRN.

Aminuddin berkata, keputusan mengembalikan mandat kepada rakyat merupakan langkah paling wajar selepas kerajaan berdepan situasi sokongan yang tidak menentu.

“Sekejap sokong, sekejap tarik sokongan. Akhirnya kita merasakan mandat ini perlu diserahkan semula kepada rakyat supaya rakyat sendiri menentukan hala tuju kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa rakyat Johor memberikan mandat yang lebih kukuh kepada PH bagi memastikan kerajaan yang bakal dibentuk mempunyai majoriti yang stabil dan mampu meneruskan agenda pembangunan tanpa gangguan politik.

Dalam masa sama, beliau memuji kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang menurutnya bekerja keras bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, Aminuddin menyeru pengundi Johor agar memberikan sokongan penuh kepada PH pada PRN akan datang demi menjamin kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan negeri dan negara.

“Ini peluang rakyat untuk menentukan masa depan Johor. Kita mahukan kerajaan yang stabil, jujur dan berpegang kepada janji yang dipersetujui bersama,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN