PUTRAJAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dimuktamadkan minggu depan.
Ini kerana kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan parti-parti komponen khususnya MCA dan MIC esok bagi mendengar sendiri pendirian masing-masing berhubung pembahagian kerusi.
“Bagi Johor, ia (calon) hampir dimuktamadkan. Esok saya akan mengadakan perbincangan dengan parti-parti komponen, khususnya MCA dan MIC untuk mereka memuktamadkan pendirian masing-masing.
“Bagi UMNO pula, ia hampir selesai. Insya-Allah, dalam minggu depan kita akan selesaikan sepenuhnya dan pengumuman akan dibuat seminggu sebelum hari penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari TVET Negara di Dataran Putrajaya, hari ini yang telah dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan PRN Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata, BN masih membuka pintu rundingan.
“Bagi PRN Negeri Sembilan, Menteri Besar telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, namun BN masih membuka pintu (rundingan) dan juga tidak menutup pintu serapat-rapatnya,” katanya.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai kemelut yang berlaku di negeri itu, beliau berkata, penyelesaian terbaik adalah dengan menghormati institusi kedaulatan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sedia ada.
“Hormati institusi kedaulatan DKU yang ada dan pada hemat saya, jalan yang terbaik ialah melalui perundingan. Tidak perlu membawa perkara itu ke muka pengadilan atau mahkamah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














