GUA MUSANG – Seorang tukang masak yang mengusahakan tanaman anggur Tasmania di kawasan rumahnya di Taman Wangsa Mewangi di sini, berkongsi hasil tuaian secara percuma kepada orang ramai sejak dua tahun lalu.
Anggur Tasmania merupakan varieti anggur liar yang popular di Malaysia kerana boleh ditanam di rumah, bersesuaian dengan iklim tropika dan mudah berbuah.
Berbeza dengan anggur komersial, varieti Tasmania bersaiz kecil dan mempunyai rasa masam manis.
Azizul Rahman Hamzah, 50, berkata, minat menanam anggur bermula ketika pandemik Covid-19 apabila aktiviti bercucuk tanam menjadi hobi popular dalam kalangan masyarakat.
Katanya, dia tertarik untuk mencuba tanaman itu selepas melihat pokok anggur berjaya berbuah termasuk Selangor dan Kelantan.
“Alhamdulillah, pokok anggur ini berbuah dengan baik sepanjang tahun sejak dua tahun lalu dan boleh dinikmati pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Azizul berkata, anak pokok anggur Tasmania yang berketinggian 0.6 meter itu dibeli menerusi platform dalam talian pada harga RM90.
Lelaki itu memberitahu, tanaman tersebut juga mudah dijaga kerana hanya memerlukan cahaya matahari yang mencukupi dan pembajaan ringkas menggunakan benih kopi.
“Saya menanam pokok anggur ini di dalam pasu berhampiran longkang yang mempunyai sumber air berterusan dan memerlukan cahaya matahari dari pagi hingga petang.
“Buah anggur ini mengambil masa kira-kira dua bulan untuk masak sepenuhnya dan mempunyai rasa masam manis apabila matang,” ujarnya.
Azizul berkata, dia tidak menjual hasil tanaman tersebut, sebaliknya mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk mengambil buah atau rantingnya sebagai benih secara percuma.
“Saya menganggap (pemberian) ini sebagai sedekah. Sesiapa yang mahu buah anggur boleh datang ambil kerana ramai yang tidak perasan sebenarnya rumah saya mempunyai pokok anggur.
“Pokok anggur ini juga saya biarkan menjalar di pagar rumah bagi memudahkan orang ramai datang untuk memetik sendiri buahnya,” katanya.














