KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) optimis mampu mempertahankan kerajaan negeri Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dengan sasaran meraih lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan tersebut berasaskan prestasi BN pada PRN Johor sebelum ini yang menyaksikan parti itu memperoleh kemenangan majoriti.
Beliau berkata, BN kekal mempunyai asas kukuh di seluruh 56 kerusi DUN Johor dan bersedia untuk mempertahankan mandat rakyat yang telah diberikan sebelum ini.
“Dalam PRN yang lalu kami (BN) bertanding di seluruh 56 kerusi DUN, maka atas landasan itulah kita mempunyai asas yang kukuh bagi meletakkan calon di semua kerusi.
“BN kini berada dalam fasa memperkukuhkan jentera serta menyusun strategi di semua peringkat termasuk di negeri dan Pusat bagi menghadapi PRN Johor,” kataya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, perbincangan bersama kepimpinan parti komponen BN sedang dilakukan bagi memuktamadkan senarai calon bertanding sebelum hari penamaan.
Beliau berkata, senarai cadangan calon telah diterima daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, namun hanya dimuktamadkan selepas perbincangan dengan kepimpinan parti komponen BN.
Beliau menegaskan proses pemilihan calon DUN Johor turut mengambil kira pandangan parti komponen khususnya MCA dan MIC bagi memastikan keharmonian dalam gabungan kekal terpelihara. – KOSMO! ONLINE






