PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Ryzal Ibrahim berdepan detik cemas apabila anak keduanya, Rian tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil sebelum dikejarkan ke hospital.
Ryzal atau nama sebenarnya Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, 34, berkata, insiden tersebut berlaku secara tiba-tiba apabila Rian yang pada mulanya menangis kuat selepas terjatuh kemudian diam dan tidak memberi sebarang tindak balas.
“Gugur jantung kami melihat anak sendiri tidak sedarkan diri selepas jatuh katil. Kuat dia menangis. Lepas itu dia diam dan tutup mata seolah-olah tidur, tiada respons dan kami terus bawa ke hospital.
“Saya dan Maryam berusaha untuk tidak membiarkan Rian terlelap sepanjang perjalanan tetapi dia langsung tiada respons, matanya tertutup walaupun Maryam jerit nama dia sekuat-kuatnya,” katanya menerusi hantaran dalam Threads.
Menurut Ryzal, detik melihat anak sendiri tidak sedarkan diri merupakan pengalaman yang amat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
“Ya Allah, sakitnya melihat isteri menjerit memanggil anak yang kami besarkan dalam keadaan kaku. Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan itu.
“Kami hanya berharap dan bergantung sepenuhnya kepada kuasa Allah SWT. Kami mohon agar diberikan peluang untuk melihat anak kami kembali sedar, ya Allah,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang simpati pengikutnya yang turut menitipkan doa agar bayi berusia 16 bukan itu segera pulih.
Menerusi video dikongsikan, anak bongsunya itu tampak sudah sedarkan diri sebaik tiba di bahagian kecemasan sebuah pusat perubatan sebelum diberikan rawatan.
Terdahulu, Ryzal mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Maryam Younarae juga pempengaruh asal Korea Selatan pada 15 Ogos 2019.
Selain Rian, pasangan itu turut dikurniakan seorang puteri yang dinamakan Rina kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE














