BALING – Dua maut manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah bas di Batu 7 Binjul, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu pemandu Perodua Myvi, seorang wanita berusia 23 tahun dan pemandu Proton Saga, lelaki berusia 26 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Seorang lagi mangsa yang merupakan penumpang Proton Saga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.22 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan yang mengakibatkan pemandu Perodua Myvi dan Proton Saga meninggal dunia.
“Pemandu wanita telah dikeluarkan dari keretanya dengan bantuan orang awam, manakala pemandu Proton Saga didapati tersepit. Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas dalam tempoh kira-kira 20 minit,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, kemalangan berlaku ketika kereta dipandu wanita berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari Pulai, Baling menghala ke Kulim.
“Bas dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dari arah yang sama, manakala sebuah lagi kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 27 tahun dari arah bertentangan,” katanya.
Menurutnya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














