fbpx
Pencarum Perkeso kini dilindungi 24 jam termasuk di luar waktu bekerja dan cuti umum serta hari kelepasan am. - GAMBAR HIASAN

‘Kami kini dilindungi 24 jam, tak risau lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelaksanaan skim perlindu­ngan 24 jam oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapat maklum balas positif daripada pencarum yang melihat ia sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja di negara ini.

Rata-rata pencarum yang ditemui menyifatkan ia perlindungan sepanjang masa yang relevan dengan keadaan semasa kerana risiko kemalangan atau kecede­raan boleh berlaku di mana-mana dan tidak terhad ketika berada di tempat kerja sahaja.

Di Johor Bahru, Johor, seorang pekerja swasta, Israq Izz Mohd. Zaid, 27, berkata, walaupun terdapat potongan caruman tambahan sebanyak 0.75 peratus daripada gaji bulanan, ia dianggap berpatutan berbanding manfaat perlindungan bakal diterima pekerja dan keluarga mereka sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Bagi saya, skim ini sangat baik kerana pekerja bukan sahaja dilindungi ketika bekerja, malah ketika berada di luar waktu kerja.

“Sekurang-kurangnya ada jaminan kepada keluarga jika berlaku kemalangan atau hilang upaya yang menjejaskan sumber pendapatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Saifuldanial Helmizi, 24, turut menyokong cadangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu pelaburan jangka panjang yang memberi ketenangan kepada golongan pekerja muda yang baru memulakan kerjaya.

Katanya, pelbagai faedah yang ditawarkan menerusi skim ­Lindung 24 Jam termasuk faedah perubatan, hilang upaya dan pendidikan waris mampu membantu meringankan beban pencarum serta ahli keluarga mereka pada masa hadapan.

Dalam pada itu, di Langkawi, Kedah, seorang pencarum ­Yasmiza Yum, 45, berkata, ramai pekerja muda mungkin melihat potongan caruman sebagai beban tambahan, tetapi jika difikirkan semula manfaat yang diperoleh jauh lebih besar.

“Perlindungan lebih menyeluruh ini membolehkan pencarum membuat tuntutan selain daripada waktu bekerja.
“Jadi ini lebih menguntungkan terutamanya bagi ­pencarum sendiri yang biasanya tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

“Dengan keadaan semasa, sekiranya kita membuat aktiviti luar dan ditimpa kecederaan, kita masih boleh membuat tuntutan dan dapat melindungi diri daripada musibah,” katanya.

Di Tanjung Malim, Perak pula, Nur Alwani Azman, 36, berkata, perlindungan tersebut sangat memudahkan ditambah dengan harga insurans konvensional yang semakin mahal.

“Bukan semua orang mampu mencarum takaful atau insurans tambahan, jadi dengan perlin­dungan 24 jam ini dapat membantu pencarum.

“Lebih-lebih lagi bencana tidak mengira masa. Kalau kita sudah berhati-hati sekali pun, tetapi malang tidak berbau dan perlindungan ini sedikit seba­nyak dapat mengurangkan beban pencarum,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN