KAPTEN skuad Bawah 19 (B-19) tahun negara, Ahmad Lutfil Hadi Sahabudin menjadikan tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Feroz Baharudin sebagai sumber inspirasi dalam usahanya untuk muncul sebagai bek tengah terbaik negara pada masa depan.
Pemain skuad pelapis JDT berusia 19 tahun itu berkata, Feroz memiliki ciri-ciri pertahanan moden yang lengkap dan menjadi penanda aras yang ingin dicapainya suatu hari nanti.
“Saya bermain di posisi pertahanan tengah di JDT III dan kami boleh lihat Feroz seorang pemain yang (miliki bakat) istimewa.
“Saya harap dapat ikut jejak Feroz dan berada pada tahap yang sama dengan dia pada masa depan.
“Pemain idola tempatan saya ialah Feroz, manakala di peringkat antarabangsa pula Pau Cubarsi (pertahanan Barcelona). Cubarsi tenang ketika mengawal bola dan sangat baik dalam aspek bertahan, Feroz juga mempunyai ciri-ciri yang sama,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sementara itu, Lutfil turut memasang impian untuk membantu skuad kendalian Nafuzi Zain melakar pencapaian terbaik pada Kejuaraan ASEAN B-19 yang akan berlangsung di Medan, Indonesia bermula esok.
Menurut Ahmad Lutfil, barisan pemain tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan selepas skuad remaja Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama Singapura, Brunei dan Thailand.
“Sasaran kami adalah memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan cuba pergi sejauh yang mungkin dalam kejohanan ini.
“Memang ada yang melihat kami mempunyai peluang, tetapi kami tidak akan mengambil mudah cabaran terutama Brunei atau Singapura. Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE














