SELEPAS perancangan rapi selama hampir lima bulan, akhirnya tibalah hari konvoi motosikal skuter Xmax85K dari Segamat, Johor ke Kuala Terengganu bagi menggegarkan International Scooter Mega Gathering 2026.
Konvoi sejauh 742 kilometer (km) pergi dan balik melalui Jalan Muadzam-Segamat, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT 1) dan persisiran jalan pantai itu bak saujana mata memandang.
Perjalanan 30 orang penunggang motosikal skuter tersebut bermula di Segamat dengan diiringi doa dan niat untuk bersilaturahim.
Menariknya, kumpulan konvoi berkenaan telah tular dalam media sosial apabila mengenakan baju kelawar di tengah bandar Kuala Terengganu baru-baru ini.
Video berdurasi 34 saat itu memaparkan aksi sekumpulan pemuda menunggang skuter dengan memakai baju kelawar bermotifkan batik.
Menurut salah seorang peserta konvoi berkenaan, Hairil Amri Hatim Hasmi, 39, yang merupakan anak jati Segamat berkata, mereka ke Kuala Terengganu selama tiga hari untuk menyertai International Scooter Mega Gathering.
“Program ini mengumpulkan ramai pemilik dan peminat skuter daripada pelbagai model dan warna dari seluruh Malaysia untuk bermesra dan bersilaturahim.
“Kami semua dari Segamat ke Kuala Terengganu menunggang motosikal hampir tujuh jam dengan jarak sejauh 371km semata-mata untuk memeriahkan perjumpaan tahunan skuter ini.
“Ini kali pertama kami menyertai program perjumpaan di Kuala Terengganu sejak kumpulan kami ditubuhkan pada Januari tahun lalu.

“Kami memakai baju kelawar ini kerana ingin memeriahkan lagi suasana sambil meraikan budaya serta seni batik yang sinonim serta menjadi kebanggaan Terengganu,” katanya ketika ditemu bual di Segamat baru-baru ini.
Ujar Hairil Amri, perancangan menempah rumah inap desa telah dibuat kira-kira lima bulan lalu untuk mengelakkan tempahan penuh.
Sebuah rumah inap desa yang boleh menempatkan 30 hingga 40 orang telah ditempah bagi keselesaan para peserta konvoi berehat serta bermalam bagi mendapatkan rehat cukup buat bekalan menunggang motosikal pada hari berikutnya.
Selain itu, motosikal masing-masing juga telah diperiksa dengan pemeriksaan rapi bagi persiapan untuk menunggang motosikal dalam jarak jauh dan masa panjang.
Sementara itu, ketua ekspedisi konvoi berkenaan, Radzuan Muhamad atau mesra di sapa Wan, 41, berkata, niat memakai pakaian tersebut hanya untuk mencipta kelainan.
“Setakat ini, penerimaan daripada orang ramai sangat baik sepanjang perjalanan dari inap desa ke tapak program.
“Ada juga yang teruja merakam gambar dan video serta meminta untuk bergambar bersama sebagai kenang-kenangan.
“Alhamdulillah, tiada komen-komen negatif yang kami terima kerana warga maya kini lebih terbuka dan faham ini untuk memeriahkan acara sahaja.
“Baju ini juga kami beli untuk dibawa pulang sebagai cenderahati dari Terengganu kepada isteri, ibu serta adik perempuan kami di rumah,” kongsinya.
Radzuan turut berpesan kepada penunggang motosikal yang menyertai konvoi motosikal jarak jauh supaya senantiasa berhati-hati semasa menunggang, sediakan tentatif perjalanan bersesuaian, mematuhi undang-undang jalan raya dan sentiasa berhemah.
International Scooter Mega Gathering 2026 yang diadakan di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu itu berjaya mengumpulkan lebih 100,000 orang peserta bersama motosikal skuter masing-masing.
Acara tersebut menunjukkan bahawa aktiviti konvoi bermotosikal bukan sahaja mengumpulkan peminatnya, sebaliknya menjadi pentas terbaik untuk menerapkan kesedaran keselamatan di atas jalan raya.















