PADANG BESAR – Jabatan Imigresen (JIM) Perlis memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand menerusi penubuhan pasukan khas Strategic Engagement Team bagi membendung kegiatan penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan.
Pengarah Imigresen Perlis, Mohammad A’sim Md. Ali berkata, kerjasama itu melibatkan koordinasi rapat dengan rakan sejawat di Wang Prachan bagi memastikan kawalan di kawasan sempadan lebih berkesan.
“Kita mewujudkan Strategic Engagement Team bersama rakan sejawat di Thailand supaya kedua-dua pihak dapat bekerjasama membendung sebarang bentuk salah laku termasuk aktiviti penyeludupan migran di kawasan sempadan.
“Kerjasama ini membolehkan perkongsian maklumat dan tindakan lebih berkesan dilaksanakan antara kedua-dua pihak,” katanya selepas prgram tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Aidiladha di Wang Kelian, dekat sini hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke program berkenaan.
Menurut beliau, Perlis yang berkongsi sempadan darat dengan Thailand memerlukan kerjasama erat antara agensi penguat kuasa kedua-dua negara bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
Katanya, selain kerjasama antarabangsa itu, JIM Perlis turut memperhebatkan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku pelanggaran undang-undang imigresen. – KOSMO! ONLINE














