JOHOR BAHRU – Sebuah kilang dipercayai dijadikan pusat kitar semula di Taman Perindustrian Maju Jaya, Kempas dekat sini musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran besar pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.03 pagi itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas tiba di lokasi pada pukul 9.11 pagi sebelum operasi pemadaman segera dijalankan.
Pegawai Cawangan Pengurusan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Zaharul Asyraf Zaharin berkata, kebakaran melibatkan struktur separuh terbuka.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran telah merebak hampir 80 peratus kawasan premis dan operasi pemadaman giat dijalankan. Bagaimanapun, pasukan bomba berdepan kesukaran akibat tekanan air yang rendah di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurut beliau, JBPM Johor turut menghubungi pihak Syarikat Air Johor (SAJ) bagi membantu meningkatkan tekanan air untuk melancarkan operasi pemadaman.
Katanya, seramai 44 anggota serta lima jentera daripada enam balai bomba terlibat dalam operasi tersebut iaitu BBP Larkin, Skudai, Kempas, Johor Jaya, Tebrau dan Pontian.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah premis, namun siasatan lanjut berhubung punca kejadian masih dijalankan selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Tiada mangsa atau orang awam berada dalam kawasan kompaun ketika kejadian berlaku,” katanya.
Tambah beliau, beberapa letupan kecil turut kedengaran sepanjang kebakaran berlaku, dipercayai berpunca daripada struktur besi dan zink yang menerima haba tinggi sebelum runtuh. -KOSMO! ONLINE














