fbpx
TANGKAP layar Abu Bakar menembak seekor lembu korban pada Program Korban Perdana DUN Kuala Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis semalam.

MB Perlis tembak lembu korban elak kejadian buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menjelaskan tindakannya menembak seekor lembu korban seperti dalam video tular adalah kerana haiwan itu mengamuk dan bertindak agresif.

Kata beliau, kejadian tersebut berlaku pada Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis dekat sini semalam.

“Terdapat 25 ekor lembu pada program korban itu dan hanya seekor yang terlepas dan bertindak agresif sehingga membahayakan keselamatan awam.

“Jadi bagi mengelak sebarang mudarat atau bahaya kepada petugas atau orang ramai, tembakan disasarkan pada bahagian kaki,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dia bertindak sedemikian bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti petugas ditanduk haiwan itu sehingga menyebabkan kematian.

“Saya tembak pada bahagian kaki sahaja. Lembu itu tidak mati akibat tembakan dan selepas berjaya dikawal, proses penyembelihan dilakukan seperti biasa mengikut prosedur korban,” jelasnya.

Dalam program korban perdana tersebut, Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis menyembelih sendiri 25 ekor lembu sebelum diagihkan kepada hampir 5,000 penduduk di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya sedang menyiasat video tular memaparkan Menteri Besar Perlis yang didakwa menembak seekor lembu korban menggunakan senapang patah.

Kata beliau, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian.

Tambahnya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti jenis peluru dan senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN