KUALA TERENGGANU – Demi kasih terhadap keluarga, seorang wanita sanggup melupakan seketika impiannya untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) sejak beberapa tahun lalu.
Wan Nur Fatihah Amirah Nik Wan @ Wan Senik, 30, berkata, kehidupannya berubah apabila bapanya jatuh sakit pada penghujung tahun 2022 sewaktu dia melanjutkan pengajian Sarjana Penyelidikan dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi Maritim di Universiti Malaysia Terengganu.
Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, dia menjaga bapanya selama lapan bulan sebelum insan tersayang tersebut meninggal dunia.
“Sebelum ini, saya bekerja di sebuah syarikat swasta sebelum berhenti dan menyambung pengajian peringkat sarjana. Sebulan selepas viva, ayah meninggal dunia. Selepas ayah pergi, emak pula sakit.
“Emak ada penyakit kencing manis menyebabkan kakinya dipotong pada tahun 2024, jadi pergerakannya agak terbatas kerana dia tidak boleh berjalan. Saya memang berhasrat untuk menyambung PhD, tetapi terpaksa ditangguhkan,” katanya kepada Kosmo!.
Ujian keluarga Wan Nur Fatihah tidak berhenti di situ apabila kakak ketiganya mengalami pendarahan belakang mata selepas melahirkan anak pertama setelah 15 tahun mendirikan rumah tangga.
Katanya, dia menggalas tanggungjawab menguruskan makan minum ibu dan kakaknya selain membantu menjaga anak saudara ketika ahli keluarga yang lain keluar bekerja.
“Saya bukan tak mahu bekerja, tetapi kalau kerja pejabat pukul 8 pagi hingga 5 petang, kena upah orang lain untuk menjaga mereka. Tidak apalah, saya yakin ada rezeki lebih baik,” katanya.
Wan Nur Fatin berkata, bagi menampung kehidupan, dia melakukan bisnes secara kecil-kecilan sebagai ejen produk kesihatan selain membantu pensyarahnya membuat penyelidikan.
“Kadang-kadang memang rasa burnout. Penat itu biasalah, tetapi apabila lihat emak dan kakak sihat, boleh beribadah dan selamat apabila saya ada di sisi, rasa berbaloi.
“Mereka tidak pernah membebankan saya. Orang sakit ini mental mereka tidak sama seperti kita, ada naik turun, jadi kena banyak bersabar.
“Saya memudahkan urusan mereka, insya-Allah Allah akan memudahkan urusan saya. Jalan hidup kita tidak sama seperti orang lain. Rezeki Allah yang aturkan,” katanya yang percaya setiap pengorbanan akan dibalas Allah.
Wanita itu turut menitipkan pesanan kepada orang ramai supaya menghargai peluang menjaga ibu bapa selagi masih diberikan kesempatan.
“Sekiranya diberi peluang menjaga emak ayah, jagalah mereka. Apabila mereka tiada kelak, kita akan rindu semua momen itu,” katanya.















