fbpx
QISYA aktif dalam dunia ratu cantik sejak berusia lima tahun.

Dunia ratu cantik bentuk keyakinan Qisya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTANDINGAN ratu cantik bukan sekadar menampilkan kecantikan luaran, malah turut menguji keyakinan diri, bakat, kemahiran berkomunikasi dan disiplin peserta.

Bagi sesetengah remaja, ia menjadi ruang mengasah potensi diri serta membina pengalaman berharga sejak usia muda.

Bagi Wan Nur Qisya Azzalea Wan Mohd. Suriman, 12, dunia ratu cantik pada mulanya hanya sekadar mencuba, kini menjadi hobi yang membawanya melangkah lebih jauh.

Segalanya bermula ketika remaja yang mesra disapa Qisya itu menyertai pertandingan baju raya di Pusat Transformasi Bandar Terengganu ketika berusia lima tahun.

Penyertaan pertama itu memberi pengalaman manis apabila dia muncul sebagai juara, sekali gus membangkitkan minat untuk terus menyertai pertandingan seumpamanya.

“Saya mula mencari maklumat melalui video pertandingan ratu cantik dan catwalk di YouTube serta Facebook.

“Dari situ, saya mula berminat untuk belajar berjalan di pentas. Ibu juga membawa saya menyertai pertandingan-pertandingan seumpamanya,” katanya kepada K-Remaja.

Minat yang semakin berkembang mendorong Qisya mengikuti latihan secara lebih serius di kelas pemodelan Vogue Icon Moslema (VIM Kids), Terengganu.

Dari situ, dia mempelajari teknik catwalk, cara bergaya di hadapan kamera, postur badan serta kemahiran komunikasi.

Selain menghadiri kelas, Qisya turut berlatih sendiri di rumah bagi memperbaiki gaya persembahannya.

Menariknya, anak tunggal itu sering berlatih berjalan menggunakan kasut tumit tinggi serta membiasakan diri dengan pergerakan di atas pentas.

Selain kemahiran peragaan, pertandingan seumpamanya turut memerlukan peserta mempamerkan bakat tersendiri.

Oleh itu, Qisya mengembangkan bakat dalam tarian K-pop yang dipelajari secara sendiri melalui video.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila Qisya berjaya mencipta beberapa pencapaian membanggakan.

Qisya ketika dinobatkan sebagai Grand Champion Teen International Legend Universal Beauty Pageant 2025.

Antaranya muncul juara Supermodel Cilik & Remaja S-5 Malaysia 2024, meraih Emerald Winner Best Runway Walk Kid & Teen dalam Supermodel Tourism International 2024 serta dinobatkan sebagai Grand Champion Teen International Legend Universal Beauty Pageant 2025.

Kejayaan itu turut membuka peluang kepada Qisya untuk mewakili Malaysia dan berinteraksi dengan peserta dari pelbagai negara seperti Jepun, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Perasaan saya sangat gembira apabila dapat mewakili Malaysia. Saya dapat berkawan dengan peserta dari negara lain dan belajar perkara baharu daripada mereka.

“Walaupun terdapat kekangan bahasa, namun kami tetap berusaha berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris serta gerak tangan untuk menyampaikan mesej,” katanya.

Qisya yang mengidolakan Miss Universe Malaysia 2024, Sandra Lim tetap memberi keutamaan kepada pelajaran, walaupun aktif dalam dunia ratu cantik.

Kebanyakan latihan dan pertandingan dilakukan pada hujung minggu supaya jadual persekolahan tidak terjejas.

Penglibatan dalam bidang itu turut membuka peluang baharu apabila Qisya terlibat dalam iklan Hari Raya Petronas 2024 serta menerima beberapa tawaran berkaitan peragaan.

Kini, Qisya menyimpan impian untuk terus mengembangkan bakat dalam bidang seni, terutama menjadi seorang pelakon pada masa hadapan.

“Selain dunia peragaan, saya bercita-cita menjadi pelakon dan berharap dapat menyertai pertandingan lebih besar seperti Dewi Remaja apabila tiba masanya.

“Setiap pentas yang dilalui bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi pengalaman berharga untuk membina keyakinan diri dan mengejar impian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN