PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura yang didakwa berkelakuan biadab selepas melanggar sebuah kenderaan di pusat beli-belah Aeon Tebrau, Johor Bahru mengundang perhatian netizen di media sosial.
Menerusi satu hantaran di laman Threads oleh @Spaghaterry yang meluahkan rasa berang terhadap sikap pemandu terbabit menerusi beberapa video dimuat naik baru-baru ini.
Rakaman dashcam yang dikongsi menunjukkan kelihatan sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipercayai dipandu lelaki warga Singapura telah mengundur secara melulu sebelum merempuh kenderaan wanita berkenaan.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas pemandu Corolla terbabit membrek secara mengejut sehingga memaksanya turut menekan brek.
Bagaimanapun, dia mendakwa pemandu tersebut kemudiannya tiba-tiba mengundur dengan laju sehingga berlaku pelanggaran.
Dalam satu lagi video dikongsikan, kelihatan pemandu bersama dua penumpang kereta berkenaan keluar untuk memeriksa keadaan kedua-dua buah kenderaan selepas insiden tersebut.
Namun, dia mendakwa pemandu berkenaan bersikap biadab ketika memohon maaf kerana tidak memandang mukanya sewaktu bercakap.
“Pagi-pagi masuk tempat orang nak shopping je lepas tu biadab, cakap sorry tak pandang muka. ‘Nothing ah nothing ah’ terus pergi masuk kereta.
“Nothing apa, calar juga,” katanya.
Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














