MEKAH – Kesempatan berada di padang Arafah bagi melaksanakan wukuf dimanfaatkan tiga beradik dari Malaysia dengan penuh pengharapan apabila menitipkan doa agar kedua ibu bapa mereka turut dipanggil menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun depan.
Menurut Siti Munirah Mohd. Mustafa, 38, pada awalnya seluruh ahli keluarga teruja apabila berpeluang menunaikan haji bersama, namun kegembiraan itu berubah apabila ibu bapanya, Mohd. Mustafa Yahya, 71, dan Nazifah Abdul Latif, 73, tidak melepasi saringan kesihatan.
“Sepatutnya kami enam beranak termasuk kakak sulung bersama tunai haji tahun ini, memandangkan mak ada asma dan ayah pula ada sakit jantung. Kami cuba juga jalani rawatan dan pemeriksaan, tetapi mungkin belum rezeki mereka tahun ini.
“Kalau kami empat-empat adik beradik pergi sekali, siapa pula mahu jaga mak ayah di kampung di Kedah? Jadi rasa lebih baik seorang berkorban demi keluarga, akhirnya kakak sulung pilih untuk menangguhkan haji demi menjaga ibu bapa di kampung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Siti Munirah berkata, oleh itu dia bersama dua adiknya, Illi Rashidah Mohd. Mustafa, 36, dan Ali Abdillatif Mohd. Mustafa, 30, tidak pernah berhenti berdoa agar kedua ibu bapanya diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji akan datang.
“Doa kami di Arafah ini supaya mak ayah diberikan kesembuhan dan dapat datang menunaikan haji tahun depan, Insya-Allah.
“Kalau kata sedih sebab mak ayah tak boleh ikut kami, memang sedih. Tapi saya pun susah nak gambarkan perasaan itu. Sedih, ralat, bercampur semuanya,” katanya.
Dia berkata, doa itu tidak pernah putus sejak mereka berada di Madinah lagi termasuk ketika menunaikan umrah dan berada di tempat-tempat doa mustajab di tanah suci.
“Kami sentiasa berdoa sebab kami yakin kalau Allah sudah panggil, semuanya akan jadi mudah. Walaupun doktor kata sukar untuk mereka pergi, kami percaya kalau ada rezeki, Allah tetap akan jemput mereka,” katanya.
Menurutnya, amalan menabung di Tabung Haji sejak kecil yang diterapkan ibu bapa menjadi antara sebab mereka dapat menunaikan haji pada usia muda.
“Mak ayah memang didik kami simpan duit raya dan duit belanja dalam Tabung Haji sejak kecil. Sekarang baru kami nampak hasil pengorbanan mereka,” katanya.- KOSMO! ONLINE














