TAPAH – Seorang pendaki dilaporkan hilang semasa melakukan aktiviti pendakian bersama 14 rakannya dengan dua malim gunung di Gunung Batu Putih di sini semalam.
Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pendaki wanita berkenaan, Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang setelah dilaporkan mengalami kecederaan pada kaki.
Menurutnya, kesemua pendaki dan malim gunung memulakan pendakian Trans Spencer Capman (Trail Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih- Kuala Woh) kira-kira pukul 2 pagi kelmarin.
“Pada pukul 10 malam, seorang peserta berusia 41 tahun telah mengalami masalah pernafasan dan berhenti rehat di Kem Batu Core bersama seorang malim dan Jaslinda.
“Manakala 12 lagi peserta bersama seorang malim gunung meneruskan perjalanan ke Puncak Batu Putih. Jarak dari Kem Batu Core ke Puncak Batu Putih adalah 1.5 kilometer (km) dengan anggaran tempoh masa pendakian dua jam,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sayani berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan seorang mangsa wanita mengalami kecederaan kaki di Gunung Batu Putih hilang pada pukul 11.32 pagi semalam dengan usaha pencarian digerakkan bomba.- KOSMO! ONLINE














