LONDON – Hull City menamatkan penantian sembilan tahun untuk kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Middlesbrough 1-0 pada aksi final playoff Liga Kejuaraan di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Pada aksi penuh dramatik itu, penyerang Hull, Oli McBurnie bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol Middlesbrough, Sol Brynn pada minit ke-95 untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.
McBurnie mengakui tidak sangka dapat membantu pasukan menamatkan saingan dalam tempoh 90 minit tanpa perlu mengheret perlawanan ke masa tambahan.
“Perlawanan ini menggambarkan kekuatan pasukan walaupun kami tidak banyak menguasai bola. Namun, kami kekal percaya akan ada satu peluang dan saya rasa seperti ditakdirkan untuk menjaringkan gol kemenangan pada kali ini,” katanya.
Sementara itu, pengendali Hull, Sergej Jakirovic mengakui beliau bangga dengan pencapaian luar biasa pasukannya untuk meraih slot terakhir ke kancah EPL musim depan.
“Saya rasa kami sendiri belum sedar apa yang telah dicapai pada musim ini. Ia sesuatu yang luar biasa dan saya bangga dengan semua yang terlibat dalam kelab ini.
“Pujian wajar diberikan kepada McBurnie yang mempamerkan aksi konsisten walaupun kita hanya menandatangani khidmatnya tiga hari sebelum musim bermula tahun lalu,” katanya.
The Tigers dijangka menjana pendapatan sekitar £200 juta (RM1 bilion) susulan kejayaan layak beraksi di EPL menerusi hak penyiaran dan penajaan. – AGENSI














