MESIR – Jaguh tinju Ukraine, Oleksandr Usyk hampir menerima kekalahan paling mengejutkan dalam sejarah tinju sebelum bangkit menumbangkan bekas juara kickboxing Belanda, Rico Verhoeven pada pusingan ke-11, awal pagi semalam.
Pertarungan ‘Glory in Giza’ di pekarangan piramid di Mesir pada awalnya dianggap tidak seimbang, namun Verhoeven mengejutkan ramai apabila memberi tentangan sengit kepada Usyk sejak loceng pertama dibunyikan.
Usyk, 39, yang mempertaruhkan gelaran WBC, selain berisiko kehilangan tali pinggang WBA dan IBF, bergelut untuk mencari rentak sehingga pusingan keempat.
Kad mata yang didedahkan selepas pertarungan menunjukkan dua juri mengikat kedudukan 95-95, manakala seorang lagi memberikan kelebihan 96-94 kepada Verhoeven.
Ketika tekanan semakin memuncak, Usyk akhirnya menemui mata kemenangan apabila melepaskan pukulan uppercut kanan yang menjatuhkan Verhoeven dengan hanya satu saat berbaki dalam pusingan ke-11.
Petinju Belanda itu berjaya bangkit sebelum kiraan 10, namun pengadil memilih menghentikan pertarungan pada minit 2:59, sekali gus menghadiahkan kemenangan teknikal kepada Usyk.
“Saya rasa pertarungan dihentikan terlalu awal, tetapi akhirnya itu bukan keputusan saya. Saya sedia untuk ‘mati’ di atas gelanggang atau biarkan loceng berbunyi.
“Pengadil tahu kami hampir ke penghujung pusingan, jadi sama ada biarkan saya teruskan atau tunggu loceng tamat. Namun saya tetap bersyukur diberi peluang ini,” kata Verhoeven sambil mengharapkan aksi ulangan.
Kemenangan itu membolehkan Usyk, mengekalkan rekod sempurna 25 kemenangan tanpa kalah sepanjang karier profesional selain mempertahankan ketiga-tiga gelarannya.
“Pertarungan ini sukar dan satu pertarungan yang bagus. Saya hanya terus meninju, uppercut kanan saya memberi kemenangan hari ini,” katanya. -AGENSI














