DISEBABKAN sering mendengar cerita kawan-kawan tentang keindahan panorama alam dan hiburan marin, saya akhirnya menjejakkan kaki di Sabang, Indonesia.
Satu pengalaman indah lebih-lebih lagi apabila melihat sendiri keindahan alam semula jadi di persekitaran pulau terletak di wilayah Aceh itu.
Lokasinya berada di titik paling barat Indonesia, air laut yang jernih kebiruan membuatkan saya terleka dengan keindahan alam ketika menaiki feri dari Banda Aceh iaitu terminal feri utama di Pelabuhan Ulee Lheue.
Seawal pukul enam pagi, saya yang bercuti bersama keluarga menaiki bot kecil bersama beberapa pelancong lain untuk menuju ke kawasan lautan terbuka.
Pada mulanya laut kelihatan tenang dan hanya kedengaran bunyi enjin bot pelancong sebelum sekumpulan ikan lumba-lumba berenang menghampiri bot.
Perasaan ketika itu sukar digambarkan kerana buat pertama kali saya melihat sendiri haiwan tersebut di habitat semula jadi termasuk aksinya melompat keluar dari permukaan laut.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Pulau Rubiah yang terkenal sebagai destinasi terbaik untuk melakukan aktiviti skuba dan snorkeling.
Air laut yang begitu jernih membolehkan saya melihat hidupan di dasar laut dengan jelas walaupun masih berada di atas bot.
Aktiviti skuba pula memberi satu pengalaman yang jauh lebih mengagumkan. Dengan bantuan jurulatih menyelam, saya dibawa menyelam lebih dalam untuk melihat sendiri keindahan dasar laut Sabang.
Pelbagai jenis karang, ikan tropika dan hidupan laut lain memenuhi ruang bawah air seperti sebuah taman semula jadi yang sangat indah.

Selain menikmati keindahan laut, saya juga berpeluang mencuba pelbagai makanan tempatan termasuk menu lazat hasil makanan laut segar seperti ikan bakar, sotong dan udang menjadi sajian utama.
Keenakan sambal khas Aceh yang pedas dan berempah membuatkan selera semakin terbuka apatah lagi sajian itu dimakan sambil menikmati pemandangan matahari terbenam di pesisir pantai.
Sambil meneroka keindahan alam itu, saya dan keluarga berpeluang mendengar serta mempelajari sejarah perjuangan tokoh Islam iaitu Siti Rubiah saat berkunjung ke makam beliau.
Beliau merupakan isteri kepada seorang ulama terkenal iaitu Teungku Ibrahim, sekali gus menjadi tokoh wanita yang sangat dihormati dalam penyebaran agama Islam di Pulau Rubiah sekitar abad ke-18.
Bagaimana sejarah Pulau Rubiah dan sekitar kawasan Sabang dahulunya menjadi pusat kuarantin jemaah haji yang baru pulang dan bakal berangkat ke Mekah ketika zaman kolonial Belanda sekitar 1920-an.
Begitu juga dengan beberapa peninggalan sisa runtuhan bangunan lama dan bekas telaga yang pernah digunakan jemaah yang menaiki kapal laut setelah pulang dari Mekah.
Bukan sahaja berpeluang menikmati keindahan alam, Sabang turut membuka peluang kepada saya memahami kehidupan masyarakat terdahulu.
















