MENGUNJUNGI Dolomites, Itali sudah menjadi impian saya sejak beberapa tahun lalu.
Akhirnya, selepas membuat penyelidikan, saya memberanikan diri mengajak teman sepejabat lama (sehingga kini masih akrab) sebagai travel buddies untuk sama-sama terpukau melihat keindahan kawasan pergunungan popular itu.
Perjalanan kami bertiga bermula dari Kuala Lumpur ke Milan.
Penerbangan mengambil masa yang panjang, namun keterujaan mengatasi rasa penat di dalam pesawat.
Setibanya di Milan, kami berehat satu malam sebelum meneruskan perjalanan darat ke Dolomites pada keesokan harinya.
Kami menyewa kereta kerana mahu bergerak dengan lebih fleksibel.
Pemanduan dari Milan ke Dolomites mengambil masa sekitar empat jam. Sepanjang perjalanan, pemandangan berubah sedikit demi sedikit daripada bandar kepada kawasan pergunungan.
Kami tiba di Dolomites pada waktu petang. Musim luruh menjadikan suasana lebih tenang dan tidak terlalu sesak.

Penginapan kami terletak di sebuah pekan kecil. Sepanjang berada di Dolomites, kami hanya fokus meneroka kawasan sekitar.
Kami melawat beberapa tasik terkenal seperti Lago di Braies dan Lago di Misurina.

Terpesona kami apabila melihat air tasik sangat jernih dan berwarna kehijauan. Pemandangan di situ pula tak ubah seperti gambar wallpaper pada komputer.
Kami berjalan kaki mengelilingi tasik tanpa tergesa-gesa. Kebanyakan masa dihabiskan untuk mengambil gambar dan duduk berbual.
Sepanjang di situ, kami tidak merancang aktiviti yang terlalu berat.
Setiap hari diisi dengan satu atau dua lokasi sahaja. Selebihnya, kami menikmati makanan tempatan dan berehat. Pada waktu malam pula, suasana sangat sunyi. Kedai pula tutup awal dan jalan lengang.
Perjalanan ini terasa istimewa kerana kami dapat berkongsi pengalaman sebagai rakan lama.
Tiada tekanan jadual atau keperluan mengejar banyak tempat. Sejak dulu, memang cara kami bercuti begitu. Kata orang, slow living.














