GUA MUSANG – Rata-rata penduduk di Felda Chiku 2 di sini mengalami kerugian apabila wang yang dibelanjakan untuk tambah nilai pakej internet tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya berikutan kawasan tersebut berdepan masalah capaian lemah sejak tiga tahun lalu.
Seorang penduduk, Rozisham Abdul Aziz, 47, berkata, situasi itu mengecewakan penduduk terutamanya bagi mereka yang bergantung kepada internet untuk urusan harian dan perniagaan.
Katanya, walaupun kerap membeli tambah nilai, kualiti capaian yang tidak stabil menyebabkan penggunaan data menjadi terhad dan tidak berbaloi.
“Kami perlu tambah nilai kira-kira RM40 sebulan, namun penggunaan internet amat terhad kerana rangkaian terlalu lemah. Kami rasa rugi kerana data tidak dapat digunakan dengan baik.
“Masalah itu turut menjejaskan peniaga dalam talian apabila urusan jual beli terganggu dan pelajar yang menggunakan internet untuk rujukan pelajaran mereka,” katanya.
Seorang peneroka, Norizan Yusof, 61, pula berkata, keadaan tersebut memaksa penduduk mencari kawasan lain yang mempunyai liputan lebih baik semata-mata untuk berhubung.
Katanya, penduduk berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah berkenaan agar mereka tidak terus menanggung kerugian setiap kali membeli tambah nilai.
“Peniaga dalam talian paling terkesan. Nak balas mesej pelanggan pun lambat, malah ada mesej yang hanya diterima selepas beberapa jam.
“Anak-anak juga terpaksa keluar ke kedai atau lokasi tertentu untuk mendapatkan capaian WiFi walaupun kami sudah membayar perkhidmatan internet di rumah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Belia Felda Chiku 2, Muhammad Zaidatul Azizi Mohd. Zaidatul Azman berkata, lebih 200 buah rumah terutama di sekitar kawasan masjid hingga ke kawasan berhampiran Gua Chiku 2 terjejas.
“Keadaan itu menyukarkan belia untuk mengikuti aktiviti digital termasuk pembelajaran dan urusan harian. Difahamkan, terdapat pencawang berhampiran di kawasan perumahan kilang dan loji air, namun liputan masih tidak memuaskan walaupun jaraknya kira-kira dua kilometer dari penempatan.
“Penduduk telah membuat aduan kepada pihak berwajib dan mereka telah turun padang bagi menyiasat aduan itu,” katanya.














