“Jangan tanya sejarah, banyak benda saya tak ingat.”
Demikian pengakuan jujur vokalis rock legenda, Muss atau nama sebenarnya, Mustaffa Din, 58, sebelum memulakan temu bual bersama HibGlam.
Bukan sengaja memberi amaran, tetapi realitinya Muss May atau kini dikenali sebagai Muss Barbarik mengalami masalah hilang sebahagian memorinya selepas koma selama sembilan hari akibat antibodi lemah dan kekurangan enzim dalam darah pada Julai 2017.
Sejak detik itu, sudah menjadi habitnya mengusung ke hulu-hilir buku nota yang mencatat semua maklumat penting mengenai profil dirinya.
“Orang nampak macam kelakar bila saya bawa buku nota sekarang diganti dengan iPad ke sana sini. Tapi sebenarnya saya takut lupa.
“Orang tanya tahun atau sejarah penting karier saya, memang tidak ingat. Janganlah tanya tahun atau tarikh. Otak saya ibarat komputer yang memorinya sudah penuh.
“Pernah saya muncul di program podcast, salah beri fakta, peminat betulkan balik fakta di bahagian komen. Jadi, untuk elak dari tersalah sebut, saya bawalah iPad ini ke mana saja,” kata Muss.

Paling terkesan daripada episod koma adalah ingatannya terhadap kerja-kerja muzik yang ‘lesap’ total buat sementara waktu dan mengambil masa hampir setahun untuk pulih sepenuhnya.
“Lepas dibenarkan keluar hospital, saya kembali ke studio, hanya mampu pandang komputer dan alat-alat di studio. Otak saya kosong hendak tekan apa pun tidak tahu.
“Jadi, saya terpaksa belajar balik cara gunakan semua perkara tentang kerja. Sebab itu, kalau lama saya tidak kemas kini media sosial makna saya lupa kata laluan.
“Sekarang, sudah ada pekerja yang menguruskan hal ehwal digital dan media sosial, mudahlah. Pada usia sekarang, hari ini ajar soal digital, esok saya lupa,” tuturnya.
Sungguhpun begitu, Muss bersyukur suaranya tidak hilang kerana itulah punca periuk nasinya.
“Memori hilang kita boleh ‘recall’ balik, kalau suara hilang macam mana saya hendak kerja. Itu yang paling saya risau ketika tidak sihat dahulu.
“Alhamdulillah, sekarang semuanya kembali okey dan lebih menjaga kesihatan,” luah Muss.
Ibarat diberi peluang kedua dan mungkin sebab pernah ‘hilang’ sebahagian ingatan itulah juga, Muss kini berubah menjadi seorang yang jauh lebih tenang.

Hilang suara
Tidak lagi terlalu mengejar dunia dan glamor seperti dahulu. Sebaliknya, lebih banyakkan masa bersama keluarga tercinta.
“Kalau dahulu apa sahaja job (kerja) tidak kira jauh atau dekat, saya buat sahaja. Tidak rasa penat sebab seronok bekerja. Saya juga rajin melepak sampai lewat malam bersama rakan-rakan.
“Tetapi sekarang jika tiada urusan kerja saya lebih suka melepak di rumah dengan tenang. Kerja pun kita memilih yang berbaloi sebab zaman rembat apa sahaja job sudah berlalu. Sekarang ketenangan itu lebih penting,” terangnya.
Hakikatnya, perjalanan seni Muss bukan calang-calang. Namanya pernah menjadi kegilaan peminat rock tanah air ketika bersama kumpulan May.
Lagu-lagu seperti Sketsa Sebuah Cinta, Sendiri dan Cintamu Mekar Di Hati masih kekal menjadi siulan sehingga hari ini meskipun Muss telah keluar daripada kumpulan itu pada 2019.
Kini bersama kumpulan Barbarik sejak 2022, kata Muss, dia pernah berasa marah apabila masih ramai peminat memanggilnya dengan nama Muss May.
Tetapi disebabkan Muss May sudah menjadi identitinya sejak dahulu lagi, dia kini bersikap terbuka dan reda akan apa sahaja panggilan nama diberi oleh peminat.
“Dahulu saya rasa nak marah bila orang panggil saya Muss May, dalam hati mereka tidak baca berita yang saya sudah tidak bersama May?
“Sekarang saya tak kisah, suka hatilah nak panggil saya apa, sebab saya tetap orang yang sama. Hendak marah tidak boleh juga memang itulah sejarah saya, mana boleh padam,” luahnya.

Gugup
Bertaraf legenda rock dan memiliki pengalaman hampir empat dekad dalam dunia seni, Muss bagaimanapun tetap gemuruh setiap kali sebelum naik ke atas pentas.
“Saya masih ada rasa gementar setiap kali show atau konsert. Sebelum naik atas pentas akan rasa berdebar atau tiba-tiba rasa sakit perut (ketawa).
“Mesti orang tidak percaya tetapi itulah yang berlaku hampir setiap show. Paling saya risau adalah kesihatan, pernah beberapa hari sebelum konsert, suara saya hilang.
“Debar jangan cakap, segala ubat saya telan. Tapi yang magisnya, naik sahaja atas pentas elok pula suara saya,” katanya sambil ketawa panjang.
Berbicara tentang perkembangan terbaharunya, Mus bakal mengadakan konsert Black On White, Cromok-Barbarik pada 27 Jun ini di Idea Live Damansara.
“Saya selesa bersama Barbarik dan mengikut hala tuju yang dibawakan JoBranko.
“Konsert ini berbeza kerana kami kongsi pentas dengan Cromok yang membawakan genre ‘thrash metal’. Cara kami nyanyi pun lain.
“Namun, perbezaan itu yang menarik. Istimewanya ada segmen tribute untuk kumpulan Kembara, bagaimana lagu-lagu Kembara dibikin secara rock, kalau hendak tahu datanglah sokong ke konsert,” ujar Muss menutup bicara.















