PETALING JAYA – Seramai 29 rakyat Malaysia yang diculik pihak tentera Israel ketika dalam pelayaran misi kemanusian Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 ke Gaza selamat tiba di Turkiye tengah malam tadi (waktu Malaysia) dengan menaiki penerbangan Turkish Airlines.
Perkembangan itu dimaklumkan menerusi satu hantaran rasmi di Facebook Sumud Nusantara Official dan pasukan itu turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai atas doa serta sokongan yang diberikan sepanjang misi tersebut
“Alhamdulillah, semua delegasi kita telah selamat sampai di Turkiye dan melepasi segala dugaan.
“Terima kasih atas sokongan dan doa yang menjadi perisai buat pasukan Sumud Nusantara. Kami meneruskan perjuangan dengan semangat yang lebih membara!,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menaja tiga buah pesawat Turkish Airlines untuk memindahkan kesemua 428 aktivis termasuk 29 rakyat Malaysia dari Lapangan Terbang Ramon, Israel ke Istanbul.
Delegasi Malaysia akan bertolak pulang ke tanah air esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Ahad. – KOSMO! ONLINE














