fbpx
Tangkap layar video aktivis GSF 2.0 dan FFC dilayan kasar oleh tentera rejim Zionis Israel.

Aktivis GSF 2.0, FFC dikasari guna taser, tudung direntap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dan Freedom Flotilla Coalition (FFC) didakwa dikasari dengan menggunakan senjata renjat elektrik atau taser secara kerap selain ada yang mengalami patah tulang rusuk dan sukar bernafas ekoran dizalimi oleh tentera rejim Zionis Israel.

Perkara itu didedahkan oleh The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) selepas konsultasi guaman bersama aktivis GSF 2.0 dan FFC yang ditahan secara tidak sah.

Adalah mengesahkan, semua tahanan kini melalui proses awal imigresen Israel dan hampir kesemuanya dipindahkan ke Penjara Ktziot.

“Para peguam turut mendokumentasikan puluhan peserta dipercayai mengalami patah tulang rusuk serta kesukaran bernafas.

“Laporan juga menyatakan penggunaan senjata renjat elektrik (taser) secara kerap terhadap peserta, selain kecederaan akibat peluru getah semasa pemintasan bot flotila dan ketika mereka dipindahkan ke kapal tentera,” menurut kenyataan Adalah.

Adalah mendedahkan, aktivis turut mengalami keganasan melampau di atas kapal serta sepanjang proses pemindahan dari bot ke pelabuhan.

“Selain itu, pihak berkuasa memaksa aktivis berada dalam posisi tekanan fizikal ketika dibawa di sekitar pelabuhan.

“Mereka dipaksa berjalan dalam keadaan membongkok sepenuhnya sambil pengawal menekan belakang mereka secara kasar. Peserta juga dipaksa duduk melutut dalam bot untuk tempoh yang lama,” katanya.

Adalah menerima banyak aduan mengenai keganasan melampau, menunjukkan corak baharu penderaan fizikal yang sengaja dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.

Katanya, keganasan ini menyebabkan kecederaan serius dan meluas, termasuk sekurang-kurangnya tiga individu dimasukkan ke hospital sebelum dibebaskan semula.

“Selain penderaan fizikal tersebut, peserta turut mengalami penghinaan teruk termasuk gangguan seksual dan penghinaan maruah.

“Beberapa peserta wanita juga dilaporkan direntap tudung mereka oleh pihak berkuasa Israel,” menurut Adalah lagi.

Sementara itu, Adalah terus memantau situasi ini dengan rapat dan peserta dijangka dibawa esok untuk hadir di hadapan tribunal sementara menunggu proses pengusiran.

“Adalah akan menuntut untuk hadir dalam prosiding tersebut bagi memberikan representasi guaman kepada mereka.

“Adalah juga terus mendesak supaya semua peserta flotila yang kini ditahan secara tidak sah dibebaskan segera tanpa syarat,” kata Adalah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN