KLANG – Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan menyebabkan kematian dua beradik, minggu lalu.
Tertuduh, Ang Kim Lai, 75 membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret A. Khartiyayini selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, Kim Lai memandu kereta secara melulu sehingga berlakunya kecederaan kepada Wong Nyok Sim, 62 dan Wong Nyoke Fong, 57 di Jalan Pekan Baru di sini, kira-kira pukul 7.30 malam, pada 15 Mei.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Pindaan 2021 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta memohon tarikh baharu sebutan kes bagi laporan forensik dan kimia.
Peguam, Tong Kuan Ling dalam mitigasi memohon mahkamah menetapkan jaminan yang paling minima kepada anak guamnya susulan dia tidak lagi bekerja.
Tambahnya, tertuduh juga mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis dan tinggal dengan lima orang anaknya
“Menantunya yang akan bertindak sebagai penjamin hanya berpendapatan sebanyak RM3,500 sebulan sebagai pembantu restoran,” jelasnya.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan lesen memandu tertuduh disimpan mahkamah sehingga kes selesai, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Ogos ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dua beradik maut dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-5 dalam kejadian tersebut.
Pemandu SUV itu bertindak melarikan diri sejurus kemalangan sebelum ditahan polis di sebuah kedai makan miliknya, kira-kira pukul 11.40 pagi Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE














