fbpx
Kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek bagi melakukan kegiatan curi kabel di Semenyih, semalam.

Lelaki miliki 34 rekod jenayah, dadah antara ditahan kes curi kabel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Kegiatan empat individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di Jalan Zahra 1, Semenyih berakhir apabila mereka diberkas polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 41 saat di media sosial berhubung kejadian itu yang dipercayai berlaku pada pukul 5.45 pagi.

Menurut beliau, susulan video tular itu, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang penduduk di kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian pada pukul 8.29 pagi semalam.

“Bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 39 tahun di Batu 9 dan Batu 14, Hulu Langat.

“Semua suspek dipercayai penganggur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis merampas dua buah kereta iaitu Honda Jazz dan Perodua Myvi dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah tersebut. Turut dirampas beberapa bahan bukti lain yang digunakan semasa mencuri kabel.

Katanya, semakan mendapati suspek pertama memiliki 24 rekod jenayah dan 10 rekod dadah, manakala suspek kedua mempunyai 10 rekod jenayah dan empat rekod dadah.

“Suspek ketiga pula mempunyai lima rekod jenayah dan enam rekod dadah, manakala suspek keempat mempunyai tiga rekod dadah,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah melalui talian NG MERS 999 atau berhubung dengan Pusat Kawalan Daerah Kajang menerusi talian 03-89114243. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN