PUTRAJAYA- Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 21 hingga 27 Mei dilaporkan naik 10 sen dengan ditawarkan pada RM4.97 berbanding RM4.87 seliter sebelum ini.
Kementerian Kewangan berkata, sementara itu, harga RON97 tanpa subsidi pula naik 15 sen iaitu dijual pada kadar RM4.85 seliter berbanding RM4.70.
Harga runcit RON95 juga naik sebanyak 20 sen iaitu ditawarkan pada kadar RM4.07 seliter berbanding RM3.87.
“Kemelut geopolitik di Asia Barat telah berlarutan melebihi 11 minggu tanpa tanda penyelesaian dalam masa terdekat. Dengan konflik berpanjangan, tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum global menjadi semakin mendesak.
“Harga minyak mentah Brent kini mencecah sekitar AS$110 setong, hampir 60 peratus lebih tinggi berbanding paras prakonflik sekitar AS$70 setong.
“Pada masa yang sama, kos logistik dan premium insurans turut meningkat ketara akibat risiko penghantaran melalui zon konflik, sekali gus memberi tekanan lanjut kepada harga produk petroleum,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kata Kementerian Kewangan, gangguan bekalan minyak global juga menjadi semakin meruncing apabila konflik terus berlarutan.
“Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia, manakala kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan.
“Dalam keadaan pasaran global yang kekal tidak menentu, kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara,” katanya.
Jelasnya, perancangan perjalanan harian juga dapat membantu penggunaan bahan api secara lebih cekap. – KOSMO! ONLINE














