PETALING JAYA – Tindakan dua wanita berdiri di kawasan tempat letak kereta dipercayai untuk menempah atau ‘cop parkir’ dikecam orang ramai.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan yang dimuat naik di Threads oleh Dsarahmzlnn, dia berkongsi gelagat dua wanita yang selamba berdiri di kawasan tempat letak kereta tanpa rasa bersalah.
Meskipun menyedari kehadiran kereta lain, mereka enggan beranjak, malah sempat menunjukkan isyarat tangan ‘menghalau’ pemandu.
Bagaimanapun, pemandu wanita itu tetap bertegas dan meneruskan niatnya masuk ke dalam petak parkir secara perlahan-lahan sehingga memaksa kedua-dua individu tersebut beralih dan beredar.
“Silap oranglah sis,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna berpuas hati dan memuji ketegasan pemandu wanita itu yang disifatkan mempunyai ‘darah pahlawan’ kerana berani mempertahankan hak.
“Saya suka darah pahlawan macam ini. Menyala sis,” ujar Itsmehazzz_.
Dalam pada itu, pengguna turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan merakam wajah pelaku sekiranya berdepan situasi sama bagi mengelakkan kejadian khianat seperti calar kereta.
“Letak kereta kita, wajib ambil (rakam) gambar kereta dan siapa yang tercegat kat parking (parkir) itu. Kalau apa jadi, senang buat report (aduan) muka dah ada,” cadang Mnaffendy. – KOSMO! ONLINE














