fbpx
SYAHIR

Syahir mahu tebus duka regu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEKONG utama negara, Syahir Rosdi mengakui kekalahan mengejut dalam acara regu pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 amat pedih untuk ditelan, namun dia nekad menebus kehampaan itu dalam acara berpasukan dengan misi mencipta kejuaraan.

Syahir yang menjadi sandaran utama Malaysia menegaskan segala kesilapan dalam acara regu sudah pun dijadikan iktibar dan kini tumpuan sepenuhnya dialihkan kepada acara berpasukan yang dianggap sebagai ‘nadi’ acara berprestij dalam sukan itu.

“Kami mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam acara regu. Kami perlu perbaiki momentum dan lakukan sehabis baik selepas ini. Acara berpasukan adalah acara yang sangat penting dan menjadi teras dalam sepak takraw.

“Nak tak nak, kami wajib menyasarkan slot ke pentas final,” katanya ketika ditemui selepas tamat aksi di Stadium Titiwangsa, lewat malam kelmarin.

Mengulas prestasi hambar yang menyaksikan Malaysia tunduk 0-2 kepada Myanmar, Syahir tidak berselindung mengakui isu rentak permainan yang perlahan menjadi punca kegagalan mereka mempamerkan taring sebenar.

“Pengajaran paling besar adalah momentum kami agak perlahan. Kami perlu pastikan momentum itu bermula dari awal permainan lagi. Sebelum ini, kami agak lambat mendapat rentak dan selepas ini kami perlu tampil lebih agresif,” katanya.

Nada sama turut dilontar Ketua Jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun yang mahu anak buahnya segera bangkit dan mempamerkan konsistensi dalam acara berpasukan menentang Myanmar.

“Bagi saya, apa yang berlaku ada hikmahnya. Ini petanda bahawa pemain perlu bersiap sedia daripada peringkat awal supaya dapat mempamerkan prestasi lebih konsisten.

“Esok (hari ini) kita akan berdepan Myanmar dan mereka adalah pencabar utama dalam kumpulan. Kita perlu menggembleng tenaga, usaha, dan kesungguhan untuk mencipta kemenangan seterusnya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir,” kata Ahmad Jais.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN