SEPANG – Setakat berita ini ditulis, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) belum menerima apa-apa perkembangan terkini mengenai kesemua peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang ditahan Israel sejak Isnin.
Kebimbangan itu disuarakan Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby pada sidang akhbar terkini perkembangan misi itu, hari ini.
Sani Araby berkata, pihaknya masih tidak mempunyai info terkini mengenai nasib kesemua aktivis yang ditahan kerana kelibat mereka belum dilihat di Pelabuhan Ashdod, Israel.
“Kami belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai nasib ratusan aktivis kemanusiaan itu walaupun penahanan sudah dibuat hampir 48 jam lalu.
“Sehingga kini pihaknya masih menunggu pengesahan berhubung lokasi sebenar serta status terkini kesemua aktivis terbabit daripada peguam The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) yang kini sudah berada di Israel.
“Sudah hampir 48 jam berlalu, namun kami masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai lokasi sebenar mereka, ke mana mereka dibawa atau keadaan terkini semua aktivis yang ditahan,” katanya.
Katanya, pihaknya dimaklumkan peserta GSF dipercayai ditahan sementara di atas kapal sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, namun setakat ini maklumat rasmi masih sangat terhad.
Sani Araby berkata, beliau berharap komuniti antarabangsa termasuk badan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat mendesak Israel memberi akses maklumat serta menjamin keselamatan semua aktivis.
“Kami menuntut ketelusan dan jaminan keselamatan kepada semua aktivis kemanusiaan yang menyertai misi ini. Mereka berada di sana atas dasar kemanusiaan, bukannya ancaman ketenteraan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














